Isu DNAA Zahid: Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen akan panggil Peguam Negara | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Isu DNAA Zahid: Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen akan panggil Peguam Negara

Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi - Gambar Bernama

KUALA LUMPUR 12 Sept - Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (JKPK) Ke-15 Hak Asasi Manusia, Pilihan Raya dan Reformasi Institusi akan memanggil Peguam Negara bagi memberi penjelasan berhubung keputusan melepas tanpa membebaskan (DNAA) Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi daripada 47 pertuduhan berkait Yayasan Akalbudi.

 

Ahli Parlimen Selayang, William Leong Jee Keen selaku Pengerusi JKPK berkata, satu laporan akan dibentangkan kepada Dewan Rakyat sebaik selesai prosiding.

 

"Saya akan panggil kedua-dua Peguam Negara (Datuk Ahmad Terrirudin Mohd Salleh dan Tan Sri Idrus Harun (bekas) untuk beri penjelasan.

 

"Kita (JKPK) akan bentangkan laporan selepas siasatan dibuat," katanya ketika bangun mencelah ketika sesi perbahasan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (KSP RMK-12) di Dewan Rakyat hari ini.

 

Terdahulu, isu itu dibangkitkan semula oleh Ahli Parlimen pembangkang sebaik Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul mempengerusikan sidang Dewan Rakyat.

 

Menjelaskan lebih lanjut, Johari menegaskan, makna memberi peluang kepada pembangkang untuk membangkitkan isu itu di dalam dewan bukan terhad kepada tempoh waktu tertentu, iaitu selepas selesai pembentangan KSP RMK-12 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam.

 

"Saya sebut Arau dan Machang, saya kata selepas itu, maksudnya dalam enam hari ini, anda boleh bercakap. Saya tidak akan hentikan apabila isu ini dibangkitkan atau boleh bangun, Machang boleh bangun.

 

"Saya tak hentikan. Sebab itu saya mahu bercakap, kalau bukan hari ini, kita ada enam hari (sidang ini), hari ini boleh.. esok boleh, itu maksud saya," katanya.

 

Terdahulu, Johari menjelaskan alasan penolakan usul itu disebabkan satu kes duluan, di mana Speaker ketika itu menggunakan peraturan mesyuarat 11(3) untuk menghalang sesuatu usul yang dikemuka di bawah peraturan mesyuarat 18(1) ditolak, lapor Berita Harian.

 

"Saya tolak usul ini sebab ada 'precedent' (kes duluan) iaitu pada Julai 2021, Speaker Tan Sri Azhar Harun sudah menolak usul dikemuka Beruas dan Port Dickson untuk bincang isu tertentu di bawah 18(1) iaitu isu proklamasi darurat.

 

"Azhar tak boleh membenarkan (usul dibentang) kerana peraturan 11(3) yang menentukan (ketua majlis) adalah Perdana Menteri. Ini adalah sidang khas 11(3) yang menentukan (aturan) adalah Perdana Menteri, jadi itu termaktub dalam syarat," katanya. - DagangNews.com