IPT diminta punyai kapasiti tampung bilangan kehadiran pelajar secara fizikal | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

IPT diminta punyai kapasiti tampung bilangan kehadiran pelajar secara fizikal

Foto - Bernama
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 10 Feb - Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) mengingatkan institut pengajian tinggi (IPT) supaya mempunyai kapasiti untuk menampung bilangan kehadiran pelajar secara fizikal dan sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) pengajaran dan pembelajaran (PdP) yang ketat, bermula Mac ini.

 

KPT dalam kenyataan hari ini memaklumkan, aspek keselamatan dan kesihatan pelajar menjadi keutamaan kementerian dalam proses kemasukan dan keberadaan pelajar di kampus.

 

"Pelaksanaan PdP secara hibird atau dalam talian adalah dibenarkan tertakluk kepada keputusan pihak IPT sendiri.

 

"Pelajar yang pulang ke kampus juga diminta untuk terus mengamalkan penjarakan fizikal dan sentiasa mengamalkan kebersihan diri. Semua aktiviti sukan dan riadah perlu mematuhi SOP yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia," katanya.

 

Semalam, kerajaan membenarkan kemasukan pelajar IPT di bawah KPT ke kampus secara berperingkat mulai 1 Mac ini, dengan kapasiti 70 peratus hingga 100 peratus.

 

KPT berkata, kementerian akan memastikan kemasukan pelajar ke kampus sama ada tempatan atau antarabangsa bermula Mac ini berjalan lancar.

 

"Keputusan ini dibuat bagi memberi fleksibiliti kepada IPT dalam menentukan mod pembelajaran yang bersesuaian kepada pelajar. 

 

"Selain itu, ia dapat memberi peluang kepada para pelajar untuk mengenali dan menyesuaikan diri dengan sistem pembelajaran serta kehidupan dalam kampus," katanya.

 

Para pelajar dan ibu bapa boleh menghubungi Bilik Gerakan COVID-19 KPT di talian 03-88706777 /6949/6623/6628 atau melayari laman web IPT atau terus menghubungi pegawai penyelaras di IPT masing-masing sekiranya terdapat pertanyaan mengenai perkara tersebut. - DagangNews.com