KUALA LUMPUR 8 April - Tawaran awam permulaan (IPO) Cengild Medical Bhd. bagi bahagian orang awam telah terlebih langgan sebanyak 44.53 kali.
Penyedia perkhidmatan penjagaan kesihatan itu bakal disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia Securities Bhd.
Ia menyaksikan sebanyak 17,462 permohonan bagi 1.86 bilion saham yang diterima orang awam untuk 40.94 juta saham baharu bagi segmen itu di bawah IPO berkenaan.
"Untuk bahagian bumiputera pula, sebanyak 8,075 permohonan bagi 592.64 juta saham IPO diterima yang mewakili kadar terlebih langgan sebanyak 27.95 kali.
"Bagi baki bahagian orang ramai, sebanyak 9,387 permohonan membabitkan 1.27 bilion saham IPO diterima, yang mewakili kadar lebihan langganan sebanyak 61.11 kali," katanya dalam makluman di Bursa Malaysia hari ini.
Bagi Tawaran Institusi, Hong Leong Investment Bank Bhd. (HLIB) yang juga pengurus tunggal telah mengesahkan bahawa 162.86 juta saham IPO yang ditawarkan kepada pelabur institusi dan terpilih juga telah dilanggan sepenuhnya.
Notis peruntukan akan dihantar kepada semua pemohon yang berjaya pada atau sebelum 15 April 2022.
Cengild dijangka menjana RM72.2 juta menerusi IPO daripada penyenaraiannya yang menawarkan sehingga 218.8 juta saham.
Pada harga tawaran 33 sen sesaham, Cengild Medical akan mempunyai permodalan pasaran berjumlah sehingga RM270.2 juta.
Daripada dana yang diperoleh menerusi IPO itu, sebanyak RM13 juta akan digunakan untuk memperluaskan pusat perubatan sedia ada di Nexus@Bangsar South, Kuala Lumpur, dengan memajak ruang tambahan antara 12,000 hingga 15,000 kaki persegi.
Sebanyak RM37.1 juta lagi akan digunakan bagi pengembangan lokasi dengan menubuhkan dua pusat perubatan penuh baharu, yang mengkhusus dalam penyakit gastrousus, hati dan obesiti di beberapa bandar utama di Malaysia seperti Johor Bahru, Pulau Pinang atau Ipoh.
Dalam pada itu, sebanyak RM17.4 juta diperuntukkan untuk tujuan modal kerja dan baki hasil RM4.7 juta akan digunakan bagi perbelanjaan penyenaraian.
Keunikan nilai Cengild Medical terletak pada kedudukannya sebagai satu-satunya pusat perubatan penuh bebas di Malaysia yang mengkhusus dalam gastrousus, hati dan obesiti.
HLIB juga adalah penasihat prinsipal, penaja dan penaja jamin bagi IPO Cengild. - DagangNews.com








