Inflasi, antara kebimbangan utama pelabur dalam menentukan matlamat kewangan - Standard Chartered | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Inflasi, antara kebimbangan utama pelabur dalam menentukan matlamat kewangan - Standard Chartered

KUALA LUMPUR 21 Feb - Sebanyak 80% pelabur tempatan menetapkan matlamat kewangan baharu khususnya untuk bersara, susulan peningkatan kos ketika ini serta persediaan bagi percutian dan gaya hidup, demikian menurut kaji selidik Wealth Expectancy Report 2022 (Laporan Jangkaan Kekayaan 2022) oleh Standard Chartered. 

 

Berdasarkan tinjauan itu didapati pelabur Malaysia menyatakan bahawa inflasi (40%), ekonomi global yang tidak menentu (28%) dan ancaman kemelesetan (23%) menjadi kebimbangan utama.

 

Inflasi yang meningkat (34%), ekonomi global yang tidak menentu (27%) dan kemelesetan (22%) juga merupakan kebimbangan utama bagi pelabur di peringkat antarabangsa.

 

"Untuk mengatasi inflasi, 61% pelabur di peringkat global sedang mencari untuk mengurangkan pegangan tunai mereka berbanding 53% di Malaysia.

 

"Standard Chartered menjangkakan peruntukan tunai global akan jatuh daripada 26% pada 2022 kepada 15% pada 2023 berdasarkan kepada maklum balas pelabur,” katanya dalam kenyataan hari ini seperti dilapor Bernama.

 

Laporan itu mengkaji peralihan dalam keputusan pelabur untuk lebih 15,000 pelabur baharu di 14 pasaran termasuk Malaysia bersama-sama dengan pergerakan yang terhasil dalam kelas aset utama.

 

Ketua Perbankan Pengguna, Swasta dan Perniagaan Standard Chartered Malaysia, Sammeer Sharma berkata, pelabur Malaysia dapat menerima beberapa jenis aset pelaburan baharu dengan sebilangan besar daripada mereka kini memegang aset digital.

 

Katanya, walaupun lebih ramai pelabur mengambil tanggungjawab dalam menguruskan kekayaan mereka, nasihat profesional terus menjadi perkara penting dalam memastikan keputusan mereka seiring dengan objektif.

 

“Kami percaya dengan strategi penjanaan pendapatan berbilang aset, digabungkan dengan nasihat yang diperibadikan akan menyediakan beberapa peluang terbaik hari ini.

 

"Di sinilah pendekatan kami mempunyai kelebihan dalam menawarkan pelabur satu set penyelesaian dan strategi yang disusun dengan teliti untuk memenuhi matlamat jangka panjang mereka," katanya. - DagangNews.com