KUALA LUMPUR 11 Sept - Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPP) Malaysia memulih kepada 0.7% tahun ke tahun pada Julai 2023, didorong sektor perlombongan dan elektrik, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin berkata IPP kembali ke jajaran positif pada Julai 2023, merekodkan pertumbuhan 0.7% tahun ke tahun berbanding penurunan 2.2% dalam bulan sebelumnya, disokong oleh pengembangan dalam sektor perlombongan pada 4.2% (Jun 2023: -6.4%) dan sektor elektrik sebanyak 1.5% (Jun 2023: 2.8%).
“Sementara itu, sektor pembuatan terus merosot, namun dengan penurunan yang lebih kecil iaitu 0.2% berbanding penurunan 1.6% yang dicatatkan pada Jun 2023.
“Bagi perbandingan bulan ke bulan, IPP turun 1.8% berbanding pertumbuhan positif 2.2% pada bulan sebelumnya,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Menurut Mohd Uzir, penurunan lebih kecil dalam pengeluaran pembuatan pada Julai 2023 disokong oleh pengembangan industri berorientasikan domestik sebanyak 6% (Jun 2023: 4.1%), dipacu terutamanya oleh pertumbuhan dua digit pada 11.9% dalam pembuatan kenderaan bermotor, treler dan semi treler.
“Tambahan pula, pembuatan produk logam yang direka, kecuali mesin dan kelengkapan; dan pembuatan produk prosesan makanan turut menyokong pertumbuhan dengan masing-masing sebanyak 6.9% dan 7%,” ujar beliau.

Sebaliknya, beliau berkata industri berorientasikan eksport yang menyumbang lebih kurang dua pertiga daripada pengeluaran pembuatan, kekal dalam aliran menurun dengan 2.7% (Jun 2023: -3.9%), dipengaruhi terutamanya oleh kejatuhan dalam pembuatan kok dan produk petroleum bertapis (10.1%); pembuatan komputer, produk elektronik dan optikal (9%); dan pembuatan produk getah (1.6%).
“Kemerosotan ini juga adalah selari dengan prestasi eksport negara yang jatuh 13.1% pada Julai 2023. Berbanding bulan sebelumnya, pengeluaran sektor pembuatan menurun 4.3%,” tambahnya.
Mohd Uzir turut berkata pengeluaran sektor perlombongan meningkat 4.2% pada Julai 2023 berbanding penyusutan 6.4% dalam Jun 2023, dipacu oleh minyak mentah dan kondensat yang mencatatkan pertumbuhan dua digit sebanyak 11.8% (Jun 2023: -4.5%), manakala gas asli mencatatkan penurunan lebih kecil 0.8% (Jun 2023: -7.8%) pada bulan ini.
Berbanding Jun 2023, beliau berkata indeks perlombongan berkembang 8% berbanding penurunan 7.7% yang direkodkan pada bulan sebelumnya.
Sementara itu, katanya, pengeluaran elektrik meningkat 1.5% pada Julai 2023, selepas pertumbuhan 2.8% pada bulan lalu. Berbanding bulan sebelumnya, indeks elektrik meningkat 1.8%, selepas mencatatkan kejatuhan 5.3% pada bulan Jun 2023.
“IPP meningkat pada kadar yang perlahan sebanyak 1.2% berbanding tempoh yang sama tahun sebelumnya (Januari - Julai 2022: 6.4%) dengan semua sektor mencatatkan peningkatan iaitu indeks pembuatan (1.4%); indeks perlombongan (0.3%); dan indeks elektrik (1.6%),” katanya. - DagangNews.com








