Indeks nilai seunit eksport, import Malaysia menyusut | DagangNews Skip to main content

Indeks nilai seunit eksport, import Malaysia menyusut

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 4 Ogos - Indeks nilai seunit eksport negara bagi Jun 2020 menurun sebanyak 0.02% kepada 109.9 mata susulan penurunan indeks minyak dan lemak binatang dan sayur-sayuran (5.8%),  barang-barang keluaran kilang (0.4%) dan minyak galian (0.1%)

Bagaimanapun, indeks jumlah eksport pula meningkat 32.3% kepada 141.7 mata yang didorong oleh peningkatan indeks alat jentera dan kelengkapan pengangkutan (39.9%), pelbagai barang keluaran kilang (38.1%) dan barang-barang keluaran kilang (27.9%).

 

Mohd Uzir
Mohd. Uzir Mahidin

 

Ketua Perangkawan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, berbanding tahun sebelumnya, indeks jumlah eksport menokok 14.1%, manakala indeks nilai seunit eksport jatuh 4.6%.

“Bagi data pelarasan musim, indeks jumlah eksport mencatatkan peningkatan 42.2% kepada 151.2 mata,” katanya dalam kenyataan Indeks Perdagangan Luar Negeri Malaysia, Jun 2020 hari ini. 

Bagi tempoh sama, indeks nilai seunit import merekodkan penyusutan 0.7% kepada 112.4 mata yang disebabkan oleh kejatuhan indeks minyak galian (3.8%), bahan kimia (0.5%) dan alat jentera dan kelengkapan pengangkutan (0.3%). 

Sementara itu, indeks jumlah import merekodkan peningkatan 19.4% kepada 125.3 mata. 

“Kenaikan ini disebabkan terutamanya oleh peningkatan indeks minyak galian (44.2%), barang-barang keluaran kilang (26.6%) dan alat jentera dan kelengkapan pengangkutan (12.4%). 

“Bagi data pelarasan musim, indeks jumlah import pada Jun 2020 meningkat 30.0% kepada 131.6 mata,” tambah beliau.

Berbanding tahun sebelumnya, kedua-dua indeks nilai seunit dan indeks jumlah import masing-masing mencatatkan penurunan 4.8% dan 1.2%.

Dalam pada itu, terma perdagangan Malaysia pula meningkat 0.6% kepada 97.8 mata berbanding Mei 2020.

Berasaskan tahun ke tahun, terma perdagangan Malaysia mencatatkan pertumbuhan kecil sebanyak 0.2% daripada 97.6 mata. - DagangNews.com