IJM Land bantu golongan memerlukan sempena Aidilfitri | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

IJM Land bantu golongan memerlukan sempena Aidilfitri

Wakil IJM Land menyampaikan sumbangan wang tunai dan barangan runcit kepada Mastura Abdul Rahim (dua dari kanan) menyambut Hari Raya Aidilfitri akan datang.
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 25 April - IJM Land Berhad (IJM Land) menyampaikan sumbangan barangan keperluan harian dan wang tunai kepada golongan kurang berkemampuan di Seremban, Negeri Sembilan sempena Program Mesra Ramadan anjuran pemaju hartanah itu.

 

IJM Land telah mengenal pasti lima keluarga kurang bernasib baik di Seremban yang sangat memerlukan bantuan. 

 

Sumbangan box of kindness termasuk barangan runcit (beras, minyak masak, biskut raya, Milo, dan lain-lain) bernilai RM300 dan duit raya sebanyak RM1,200 disumbangkan oleh IJM Land untuk memudahkan persiapan mereka untuk sambutan Aidilfitri.

 

Pengurus Besar Kanan IJM Land Berhad (Wilayah Tengah), Datuk Hoo Kim See berkata, mereka percaya sumbangan kecil itu dapat membantu meringankan beban kehidupan keluarga terutamanya pada musim perayaan.

 

“Ramadan tidak lagi seperti dulu, lebih-lebih lagi ketika negara kita berada dalam fasa peralihan endemik yang mana kebanyakan daripada kita masih dalam mod pemulihan. 

 

"Untuk menyesuaikan diri berdasarkan keadaan semasa mungkin bukan sesuatu yang mudah bagi sesetengah orang. Oleh itu, kami di IJM Land sentiasa berusaha untuk membantu golongan yang kurang bernasib baik di samping membawa perubahan dalam kehidupan mereka yang memerlukan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Seorang penerima bantuan, Mohd Zukhilal Harun, 41, yang juga pekerja restoran dengan pendapatan rendah menyara empat orang anak, yang mana salah seorang anaknya mengalami 'Disleksia'. 

 

 

ijmland

 

 

ijmland

 

 

Mastura Abdul Rahim pula seorang ibu tunggal berusia 55 tahun yang menjual minyak kelapa sawit untuk mencari nafkah, kini menghidap diabetes dan baru-baru ini, tiga jari kakinya dipotong akibat penyakit kencing manis. 

 

Selain itu, IJM Land turut membantu tiga keluarga lain iaitu seorang pemandu teksi, Kader Batcha Abdul Karim, 56, bapa tunggal yang memiliki empat orang anak dan ibu tunggal, Hamidah Md Ifa, 45, menyara anak perempuannya dengan pendapatan bulanan RM300 sebulan hasil daripada menjual kuih.

 

Seorang lagi penerima bantuan yang juga ibu tunggal, Marni Koi berusia 34 tahun bekerja sebagai pembantu kedai dan menyara anak perempuannya kini hidup serba kekurangan dengan menyewa sebuah bilik. - DagangNews.com