KUALA LUMPUR 7 Nov - Icon Offshore Bhd telah menerima kontrak untuk menyediakan kapal tunda pengendalian sauh 60 tan metrik untuk kempen penggerudian 2023/2024 SEA Hibiscus Sdn Bhd.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, Icon Offshore berkata anak syarikatnya, Icon Offshore Group Sdn Bhd menerima surat anugerah (LOA) berkenaan pada 18 Oktober dan penyediaan perkhidmatan telah bermula pada 24 Oktober 2023.
SEA Hibiscus merupakan anak syarikat tidak langsung penyedia perkhidmatan minyak dan gas, Hibiscus Petroleum Bhd.
Menurut Icon Offshore, nilai kontrak adalah berdasarkan jadual kadar yang dikeluarkan oleh SEA Hibiscus sepanjang tempoh kontrak.
“Tempoh kontrak adalah 450 hari dari tarikh permulaan dengan pilihan lanjutan 30 hari berdasarkan terma dan syarat yang sama, kecuali harga dan kadar tertakluk kepada persetujuan bersama antara pihak,” katanya.
Kumpulan itu menjangkakan kontrak tersebut menyumbang secara positif kepada pendapatan, buku pesanan dan aset bersih bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2023 dan 2024 (FY23-24).
Saham Icon Offshore ditutup rendah 0.5 sen atau 4.2% pada 11.5 sen, memberikannya permodalan pasaran berjumlah RM311.3 juta. - DagangNews.com








