HLIB masih ragu-ragu dengan faedah diperoleh telco di sebalik perjanjian pembelian ekuiti dengan DNB | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

HLIB masih ragu-ragu dengan faedah diperoleh telco di sebalik perjanjian pembelian ekuiti dengan DNB

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 6 Jan - Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research mengekalkan pandangan 'neutral' terhadap sektor telekomunikasi (telco) ekoran ketidaktentuan dalam pelaksanaan 5G. 

 

Indeks Telekomunikasi KL jatuh 8% pada 2022, melepasi kerugian 5% FBM KLCI kerana sektor itu dibelenggu oleh ketidaktentuan kawal selia 5G dan turut dipengaruhi kesan Cukai Kemakmuran.

 

Penganalisisnya, Tan J Young berkata, walaupun empat syarikat telekomunikasi bersetuju  mengambil pegangan ekuiti dalam Digital Nasional Bhd. (DNB), namun, wujud keraguan dari segi faedahnya memandangkan akses borong 5G diberi mandat untuk berlaku adil dan setara dengan semua syarikat telekomunikasi.

 

Katanya, kecuali Maxis, lima syarikat telekomunikasi yang melaksanakan perjanjian akses mereka dengan DNB telah memulakan perkhidmatan runcit 5G kepada pengguna akhir.

 

"Bagaimanapun, kerajaan perpaduan baru-baru ini mengumumkan bahawa ia akan mengkaji semula projek 5G kerana ia tidak dirumus secara telus memandangkan pemilikan tunggal spektrum menimbulkan kebimbangan daripada syarikat telekomunikasi mengenai harga, ketelusan dan monopoli.

 

"Namun, kami memuji langkah kerajaan untuk menubuhkan DNB bagi melancarkan infra 5G neutral tunggal," katanya dalam nota kajian hari ini. 

 

Baru-baru ini Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil dalam laporan Bloomberg memberitahu akan mencapai kata putus berhubung semakan semula 5G pada suku pertama ini, di tengah-tengah kebimbangan bahawa ia akan menangguhkan pelancaran rangkaian berkelajuan tinggi itu.

 

Isnin lalu, Ketua Pegawai Operasi DNB, Nasution Mohamed berkata, pelaksanaan rangkaian 5G di seluruh negara sudah mencapai hampir 50% di kawasan berpenduduk pada akhir 2022, sekali gus melepasi sasaran awal sebanyak 40%.

 

Ekoran beberapa persoalan dibangkitkan netizen di media sosial, Fahmi turut menggesa supaya DNB menjelaskan bagaimana syarikat itu membuat kesimpulan bahawa pelaksanaan liputan rangkaian 5G di negara ini sudah mencapai hampir 50%.

 

Dalam pada itu, J Young berkata, genting masih memainkan peranan penting dan sebagai tulang belakang untuk memindahkan data pada kelajuan cahaya menjadi semakin kritikal dan prasyarat wajib dalam binaan jalur lebar/5G.

 

Menurutnya, permintaan akan meningkat bukan sahaja dari segi kapasiti, tetapi juga liputan untuk mengimbangi kekurangan spektrum 5G (terutamanya mmW) dalam penyebaran.

 

Katanya, lonjakan dalam permintaan lebar jalur borong akan meningkatkan margin walaupun di bawah rejim Standard Mandatori bagi Harga Capaian (MSAP). 

 

"Selain itu, pelancaran gentian baharu dirundingkan secara komersial (harga tidak dikawal) dan syarikat telekomunikasi tetap akan memperoleh pulangan yang lebih lumayan.

 

"Kami tidak terlalu bimbang mengenai semakan harga MSAP seterusnya, jika ada. Kesannya tidak mungkin seteruk objektif 'menggandakan kelajuan, separuh harga' sebelumnya dan mungkin akan diimbangi oleh penggunaan yang semakin meningkat," jelasnya.

 

Secara keseluruhan, HLIB meletakkan Telekom Malaysia Bhd. (TM) sebagai pilihan utama dengan saranan 'beli' pada harga sasaran RM6.94 sesaham. - DagangNews.com