Hektar REIT dijangka peroleh manfaat jangka panjang daripada pembelian Kolej Yayasan Saad didorong pajakan 30 tahun – AmInvestment | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Hektar REIT dijangka peroleh manfaat jangka panjang daripada pembelian Kolej Yayasan Saad didorong pajakan 30 tahun – AmInvestment

Kolej Yayasan Saad di Melaka
Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 13 Sept - Pembelian Kolej Yayasan Saad (KYS) dijangka memberi manfaat kepada Hektar Real Estate Investment Trust (Hektar REIT) dalam jangka panjang memandangkan ia mempelbagaikan campuran hartanah keseluruhan dan mengurangkan pergantungan kepada sektor runcit, kata AmInvestment Bank Research.

 

AmInvestment berkata ia juga dijamin dengan pengaturan pajakan bersih empat kali ganda, yang menyediakan pendapatan sewa berulang yang stabil dan risiko penghunian minimum kepada Hektar untuk 30 tahun akan datang.

 

“Bagaimanapun, kami negatif terhadap pengambilalihan dalam jangka pendek kerana terbitan unit penempatan akan menyebabkan pencairan pengagihan seunit (DPU) Hektar REIT sebelum pendapatan daripada KYS mula menyumbang dengan ketara,” ulasnya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

Namun begitu, firma itu berkata hasil pengagihan Hektar REIT sebanyak 7.7% adalah menarik berbanding hasil Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS) 10 tahun sebanyak 3.88%.

 

 

BACA JUGA: Hektar REIT ambil alih kampus Kolej Yayasan Saad berharga RM150 juta

 

 

Menurut firma penyelidikan itu, dengan mengandaikan terbitan 99,757,594 unit baharu melalui penempatan persendirian berharga 56.7 sen seunit, yang mewakili diskaun sebanyak 10% kepada harga purata wajaran volum (VWAP) lima hari, Hektar dijangka menjana RM57 juta daripada penempatan dengan baki RM93 juta daripada pinjaman.

 

Berdasarkan andaian firma, sumbangan daripada KYS dianggarkan sebanyak RM2 juta kepada pendapatan boleh agih Hektar REIT pada tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025 hingga 2026 (FY25-FY26).

 

“Oleh itu, kami meningkatkan [unjuran] pendapatan boleh agih FY25 sebanyak 6% selepas mengambil kira sumbangan daripada KYS.

 

“Bagaimanapun, kami menurunkan pendapatan boleh agih FY24 sebanyak 4% kerana peningkatan hasil tidak dapat mengimbangi pengiktirafan perbelanjaan berkaitan penempatan sekali sahaja, yang berjumlah RM2 juta.

 

Kami juga menurunkan DPU FY24/FY25 masing-masing sebanyak 12% dan 2% berikutan terbitan unit baharu,” katanya.

 

AmInvestment berkata setelah selesai pengambilalihan, nisbah hutang kepada aset Hektar REIT pada FY24 akan meningkat kepada 0.48 kali daripada 0.46 kali.

 

Firma itu mengekalkan saranan ‘beli’ dengan nilai saksama (FV) lebih rendah pada 75 sen seunit daripada 81 sen.

 

Saham Hektar REIT susut 1 sen atau 1.6% kepada 63 sen pada pukul 11 pagi ini, dengan permodalan pasaran sebanyak RM314.2 juta.  - DagangNews.com