KUALA LUMPUR 19 Okt - Harga penanda aras arang batu Indonesia yang terus meningkat akan menyebabkan Tenaga Nasional Bhd. (TNB) berdepan kos bahan api yang tinggi pada separuh kedua 2022 setelah mengalami kenaikan 135% tahun ke tahun pada separuh pertama.
Pada suku ketiga, harga arang batu meningkat 8% suku ke suku kepada AS$319.94 satu tan metrik daripada AS$295.98 satu tan metrik, berbanding harga asas arang batu pada AS$79 satu tan metrik di bawah tempoh Regulatori Ketiga (RP3).
Penganalisis Kenanga Research, Teh Kian Yeong berkata, TNB mungkin merekodkan hasil yang lebih lemah pada separuh kedua meskipun kenaikan kos bahan api itu boleh dilepaskan kepada pengguna atau sebahagiannya diimbangi dengan dana Kumpulan Wang Industri Elektrik (KWIE).
Katanya, ia turut dipengaruhi kesan pelarasan Pelepasan Kos Tidak Seimbang (ICPT) yang lewat, mungkin ditangguhkan sehingga tahun kewangan berakhir 31 Disember 2023 (FY23).
"Namun, TNB dibenarkan mendapatkan semula kos modal kerja untuk sebarang kos yang terlibat dalam penghutang berkaitan ICPT.
"Setakat ini, ia telah menerima sejumlah RM2.9 bilion kos pemulihan daripaa kerajaan bagi tempoh Julai hingga September
"Ini secara tidak langsung menunjukkan komitmen kerajaan dalam menegakkan rangka kerja Kawal Selia Berasaskan Insentif (IBR) dan mekanisme ICPT," katanya dalam nota kajian hari ini.
Bagaimanapun, secara keseluruhan, TNB masih kekal menjadi pilihan utama Kenanga Research bagi segmen utiliti yang kekal dengan penarafan 'overweight'.
Ia menjangkakan permintaan bagi segmen tenaga pada 2022 akan pulih dengan kukuh sebanyak 5.8% (berbanding 1.7% pertumbuhan di bawah RP3) selepas pertumbuhan pada 2021 dan 2021 terjejas akibat pandemik COVID-19.
Bagi 2023, Kian Yeong mengunjurkan permintaan akan berkembang 1.8%, tinggi sedikit berbanding panduan pertumbuhan sebanyak 1.7%.
Menurutnya, hasil utiliti TNB akan disokong oleh kadar pulangan tetap sebanyak 7.3% pada asas aset terkawalnya dengan pertumbuhan permintaan tahunan sebanyak 1.7% tertanam dalam tempoh RP3 di bawah rangka kerja IBR.
Bagi gas utiliti, Petronas Gas Bhd. dan Gas Malaysia Bhd. pula berada di tahun terakhir RP1 dan ia dijangka merekodkan pendapatan berdaya tahan walaupun tempoh RP2 bermula Januari depan.
"Sementara itu, pendapatan untuk pengeluar tenaga bebas (IPP) disokong oleh perjanjian pembelian kuasa (PPA) yang membantu merapatkan jurang pendapatan kerana terdapat beberap aset IPP lama akan tamat tempoh.
"Aset-aset ini menjana aliran tunai berulang dengan hasil dividen antara 4% hingga 7%," - DagangNews.com








