Hartalega beli tanah 60.57 ekar, bina kilang sarung tangan baharu | DagangNews Skip to main content

Hartalega beli tanah 60.57 ekar, bina kilang sarung tangan baharu

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 10 Ogos - Hartalega Holdings Berhad (Hartalega) menerusi anak syarikatnya, Hartalega NGC Sdn. Bhd. (HNGC) telah membeli sebuah tanah berukuran 60.57 ekar daripada Kumpulan Tanjung Balai Sdn. Bhd. (KTBSB) di Mukim Labu, Sepang, Selangor.

Tanah yang dibeli selepas menerima tawaran menjual atau ‘offer to sell’ (OTS) daripada KTBSB itu bertujuan bagi pembinaan kilang sarung tangan baharu (NGC 1.5).

Hartalega menerusi pengumuman syarikat di Bursa Malaysia memberitahu, pemerolehan tanah itu bernilai RM158,305,752 dan tertakluk kepada Perjanjian Jual Beli (SPA) yang akan diumumkan kemudian.

“Tawaran pemerolehan itu tepat pada waktunya ketika permintaan terhadap sarung tangan perubatan dunia melonjak akibat penularan pandemik COVID-19. Sehubungan itu, industri sarung tangan perubatan perlu meningkatkan perubahan struktur dalam permintaan sejajar dengan peningkatan kesedaran perlindungan tangan.

“Pemerolehan tanah ini membenarkan syarikat untuk menghasilkan nilai tinggi dan potensi perolehan untuk pemegang saham. Tanah itu juga terletak di lokasi strategik bersebelahan NGC Sepang di mana semua infrastruktur penting telah tersedia,” jelas Hartalega hari ini.

Menerusi pembelian tanah itu, kapasiti pembuatan sarung tangan dapat ditingkatkan kepada 19 bilion pada setiap tahun.

Sekiranya digabungkan dengan pemerolehan tanah sedia ada, 95 ekar di Banting, Selangor untuk pembinaan NGC 2.0, jumlah keseluruhan kapasiti tahunan dapat mencecah 95 bilion, yang dijangka siap pada 2027.

Setiap kaki persegi tanah itu bernilai RM60 dengan terma pembayaran menyaksikan 10% daripada nilai pembelian perlu dibayar sebelum pelaksanaan SPA dan selebihnya (90%), 14 hari selepas pendaftaran sah tanah oleh HNGC.

SPA perlu dilaksanakan sebelum 21 Ogos 2020 dengan terma dan syarat dipersetujui oleh kedua-dua pihak.

Dalam pada itu, KTBSB merupakan syarikat persendirian pelaburan hartanah di Malaysia dengan modal berbayar RM1 juta. - DagangNews.com