Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
[email protected]
KUALA LUMPUR 19 Feb. - Nilai harga rokok tinggi yang dikaitkan dengan kemampuan pembeli di Malaysia dilihat memberi kesan negatif kepada pertumbuhan jualan kumpulan British American Tobacco (BAT).
CGS-CIMB Research dalam nota kajiannya berkata, BAT turut mengharapkan kerajaan agar mencari jalan terbaik untuk mengatasi jurang harga runcit antara rokok sah dan rokok haram.
"Apa yang disuarakan oleh BAT pada adalah supaya kerajaan mengurangkan harga runcit rokok yang sah agar setara dengan harga rokok haram.
"Kita tidak tahu sama ada penurunan harga itu berlaku dengan patas, namun sekiranya ia berlaku, kerajaan akan berdepan organisasi anti rokok yang tidak mengaut keuntungan.
"Meskipun pada tahap harga semasa, organisasi tersebut terus meminta kerajaan untuk menaikkan cukai eksais tembakau," jelas CGS-CIMB Research.
Tambah CGS-CIMB Research, penurunan harga rokok sekurang-kurangnya menjadikan harga rokok lebih berpatutan sekali gus menghalang permintaan rokok haram.
Secara faktanya, rokok di Malaysia adalah antara yang termahal jika dibandingkan dengan kadar pendapatan penduduk di negara-negara lain.
Sementara itu, BAT menyifatkan jualan awal pada Januari 2021 sebagai memberangsangkan sekali gus mampu menyumbang kepada pertumbuhan jualan tahun kewangan 2021.
BAT turut menaikkan inventori ke tahap lebih tinggi kepada RM229.9 juta pada akhir Disember 2020.
BAT menyimpan bekalan rokok hingga masalah berkaitan bekalan terhapus bagi mengelak isu kegagalan penghantaran dan logistik.
CGS-CIMB Research mengulangi saranan 'tambah' saham BAT dengan harga sasaran sesaham (TP) bernilai RM18.23. - DagangNews.com








