KUALA LUMPUR 11 Feb - Situasi bekalan minyak sawit yang ketat dijangka berkurangan pada separuh kedua tahun ini berikutan pengeluaran yang lebih tinggi.
Penganalisis MIDF Research, Shahira Rahim berkata, dalam tempoh sederhana, simpanan minyak sawit Malaysia diunjur kekal dalam aliran menurun terutamanya disebabkan kitaran pengeluaran minyak sawit yang lebih rendah mengikut musim.
Bagaimanapun, katanya, di sebalik kebimbangan yang semakin berkurangan ini, penurunan drastik bagi harga minyak sawit mentah (MSM) pada tahun hadapan dijangka tidak berlaku, tetapi kekal menguntungkan pada 2022.
"Selain itu, kami berpendapat harga semasa MSM yang tinggi akan kembali normal pada masa hadapan tetapi pada kadar perlahan memandangkan pembukaan semula aktiviti ekonomi di peringkat global.
"Dari segi permintaan pula, kami menjangkakan permintaan eksport yang lebih baik apabila aktiviti penyimpanan semula semakin rancak dari negara destinasi utama dan permintaan lebih tinggi daripada negara-negara Asia Barat susulan Kempen Minyak Sawit Malaysia Penuh dengan Kebaikan di Ekspo 2020 Dubai," katanya dalam nota kajian hari ini.
Dengan mengambil kira semua faktor ini, firma itu mengekalkan pandangan 'positif' terhadap sektor perladangan dengan mengunjurkan harga purata MSM bagi tahun ini berlegar pada paras RM3,300 satu tan metrik.

Data yang dikeluarkan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) semalam menunjukkan stok MSM jatuh 7.7% kepada 786,828 tan metrik pada Januari 2022 daripada 852,339 tan metrik pada Disember 2021 berikutan pengeluaran yang lebih rendah.
Jumlah inventori minyak sawit susut 3.9% bulan ke bulan kepada 1.55 juta tan metrik daripada 1.61 juta tan metrik, dengan inventori minyak sawit yang diproses meningkat sedikit 0.5% kepada 765,586 tan metrik daripada 761,717 tan metrik sebelumnya.
Pengeluaran MSM merosot 13.5% kepada 1.25 juta tan metrik daripada 1.45 juta tan metrik pada Disember 2021.
Eksport minyak sawit juga susut 18.7% kepada 1.16 juta tan metrik pada Januari 2022 daripada 1.42 juta tan metrik pada bulan sebelumnya.
Shahira berkata, masalah pengeluaran yang rendah ini dijangka pulih pada suku kedua 2022 apabila pekerja asing mula memasuki ladang beberapa bulan akan datang.
Katanya, ketika ini kerajaan sedang berunding dengan 4 negara termasuk India, Bangladesh, Indonesia dan selatan Thailand untuk membawa lebih banyak tenaga buruh untuk bekerja dalam sektor perladangan.
"Perlu diingat bahawa Indonesia telah pun meluluskan kemasukan 32,000 warga Indonesia pada pertengahan bulan ini," tambahnya.

Sementara itu, penganalisis Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research, Chye Wen Fei mengekalkan unjuran harga MSM bagi 2022 dan 2023 masing-masing pada RM3,500 dan RM2,900 satu tan metrik.
Beliau percaya, harga MSM akan kekal tinggi dalam tempoh sekurang-sekurangnya sehingga suku pertama ini, disokong fenomena La Nina dan kitaran pengeluaran yang rendah.
"Walaupun kami masih berpandangan bahawa harga MSM akan menurun mulai suku kedua dan seterusnya, ini bergantung kepada beberapa ketidaktentuan.
"Antaranya, kemasukan pekerja asing ke Malaysia dan lonjakan harga baja, yang mungkin mengakibatkan penanam (bagi pekebun kecil tertentu) mengurangkan penggunaan baja pada kelapa sawit, sekali gus menjejaskan pemulihan hasil yang dijangkakan," jelasnya.
Firma itu bagaimanapun mengekalkan pandangan 'overweight' terhadap sektor perladangan dengan menjangkakan prospek pendapatan yang lebih baik.
CGS-CIMB Research dalam nota kajiannya pula menjangkakan stok minyak sawit akan menyusut 5.3% bulan ke bulan kepada 1.47 juta tan metrik menjelang akhir Februari 2022.
Ia akan menyaksikan pengeluaran dan eksport masing-masing menurun 10% dan 13% bulan ke bulan.
Firma itu mengunjurkan harga MSM akan kekal kukuh sekitar RM4,500 hingga RM5,500 satu tan metrik pada Februari ini disebabkan kekangan bekalan dalam tempoh terdekat dan kebimbangan penghantaran eksport minyak sawit yang lewat dari Indonesia disebabkan peraturan eksport baharu.
"Secara keseluruhan, kami menaikkan unjuran harga MSM bagi 2022 kepada RM4,100 satu tan metrik berbanding RM3,600 sebelum ini.
"Ini mencerminkan resolusi yang lebih perlahan daripada jangkaan terhadap masalah kekurangan pekerja asing di Malaysia, peraturan eksport baharu minyak sawit di Indonesia dan kebimbangan terhadap bekalan kacang soya yang lebih rendah akibat kemarau berterusan di Amerika Selatan," katanya yang mengekalkan pandangan 'neutral' terhadap sektor perladangan. - DagangNews.com








