HAL akui saingan sengit untuk menangi tender LCA TUDM  | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

HAL akui saingan sengit untuk menangi tender LCA TUDM 

Sebahagian daripada pesawat tentera udara India yang dipamerkan pada Aero India 2023.
Oleh ZAKI SALLEH 

KUALA LUMPUR 15 Feb - Belum ada sebarang keputusan daripada Kerajaan Malaysia berhubung tawaran India bagi perolehan pesawat dwifungsi tempur ringan dan latihan lanjutan (LCA/FLIT) Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

 

Situasi ini memberi bayangan India berhadapan saingan sengit untuk memenangi kontrak bernilai RM4 bilion bagi membekal 18 buah pesawat daripada 36 buah kesemuanya.

 

Bagaimana pun, pihak Hindustan Aeronautics Limited (HAL) yang mempertaruhkan pesawat pejuang ringan, Tejas masih menaruh harapan sehinggalah keputusan dimuktamadkan.

 

Sepertimana dilaporkan media antarabangsa, Pengerusi HAL dan Pengarah Urusannya, C B Ananthakrishnan memaklumkan, tiada perkembangan positif mengenai perolehan TUDM.

 

Bercakap kepada media pada sidang akhbar semasa pameran Aero India 2023 di Bengaluru semalam, katanya, HAL tetap mencuba walaupun saingan dihadapi sengit.

 

Katanya, sehingga kini pihak Kementerian Pertahanan Malaysia (Mindef) belum mengemukakan apa-apa tawaran rasmi mengenainya.

 

Tejas berhadapan dengan pesawat pesaing iaitu FA-50 buatan Korea Aerospace Industries (KAI) dengan bayangan TUDM dilihat cenderung pada pesawat Korea Selatan.

 

 

tudm
Pesawat Tejas berada dalam senarai akhir calon pesawat LCA TUDM.

 

 

Kelebihan pada FA-50 yang telah dioperasikan banyak tentera udara antaranya Thailand, Filipina, Indonesia, Mesir dan Poland.

 

Turut bersaing ialah pesawat Leonardo M-346 Master buatan Itali dan Hurjet dari Turkiye.

 

Ia bagi menggantikan pesawat-pesawat Hawk dan Aermacchi MB339CM sepertimana diumumkan TUDM lantas telah meletakkan negara dalam radar firma-firma aeroangkasa.

 

 

tudm
FA-50 telah dioperasikan banyak tentera udara termasuk serantau.

 

 

Pemilihan pesawat LCA/FLIT ini penting kerana ia merupakan persediaan pada TUDM sebelum memperolehi pesawat tempur generasi baharu dalam tempoh 15 tahun lagi.

 

Pesawat Tejas sebelum ini dikatakan berada dalam senarai akhir TUDM bersama FA-50 dengan kedua-dua pengeluar berusaha sehabis baik untuk memenangi tender tersebut.

 

Kesungguhan HAL begitu ketara apabila buat pertama kali pesawat Tejas dipertontonkan kepada umum di luar India dengan menyertai Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi (LIMA) 2019.

 

 

tudm
India turut mengintai peluang menjual helikopter tempur ringan buatan HAL.

 

 

Memenangi kontrak daripada Malaysia sangat penting bagi HAL untuk menjadi negara pembeli pertama pesawat Tejas yang mengambil masa 30 tahun dibangunkan.

 

Jika ini berlaku, ia akan menjadi perolehan pertahanan terbesar Malaysia dari negara Asia Selatan itu.

 

Atas kertas, Tejas merupakan pesawat tempur ringan yang tidak ada kekurangan selain faktor harga yang kompetitif serta sokongan teknologi sedia ada.

 

HAL sebagai firma pertahanan dan aeroangkasa milik kerajaan India merupakan pengeluar utama pesawat untuk angkatan tentera negara itu.

 

Selain Malaysia, HAL turut mengintai peluang untuk memenangi perolehan pesawat Tejas dengan Argentina, Mesir dan Botswana.

 

Filipina pula menyatakan minat untuk mempertimbangkan cadangan perolehanan helikopter tempur ringan buatan HAL.

 

India merupakan antara negara pengimport terbesar kelengkapan pertahanan tetapi kurang menyerlah sebagai pengeksport walaupun mempunyai produk ketenteraan yang baik.

 

Negara itu menyasarkan perolehan eksport industri pertahanan sebanyak AS$5 bilion dalam tempoh beberapa tahun akan datang.

 

Sehingga belum ada kenyataan rasmi daripada Mindef, secara umumnya peluang sama ada Tejas, FA-50 atau pesawat lain masih terbuka. 

 

Pesawat pilihan hanya diketahui apabila kerajaan dijangka mengumumkan pemenang tender pesawat FLIT/LCA untuk TUDM pada pameran LIMA 2023 Mei ini. - DagangNews.com