KUALA LUMPUR 10 Mac - Sempena Hari Wanita Sedunia, Grab Malaysia melancarkan inovasi keselamatan terbaharu bagi meningkatkan lagi keselamatan rakan pemandu dan penumpang.
Ciri keselamatan yang dikenali sebagai 'AudioProtect' itu, membuktikan komitmen Grab untuk mewujudkan pengalaman lebih selamat untuk setiap pengguna platform itu pada setiap hari.
Dengan AudioProtect dilancarkan secara berperingkat bermula hari ini, kedua-dua rakan pemandu dan penumpang diberi pilihan untuk mengaktifkan rakaman audio semasa perjalanan, yang mana Grab menetapkan piawaian baharu bagi insiden yang boleh dielakkan.
Selain membantu menyediakan ketenangan minda untuk para penumpang dalam perjalanan, ciri ini juga akan membantu mempercepatkan dan menyelesaikan sebarang laporan yang dibuat kepada Grab.
Pengarah Urusan Grab Malaysia, Adelene Foo berkata, menerusi AudioProtect dan rangkaian ciri keselamatan yang sedia ada, pihaknya mengambil pendekatan proaktif terhadap keselamatan dan memperkasakan rakan pemandu dengan keyakinan untuk memandu dengan selamat serta berhemah.
Beliau berkata, pada 2021, lebih daripada 99% perjalanan Grab berlaku tanpa sebarang insiden.
"Grab akan terus mengutamakan keselamatan, sekuriti dan juga mengurangkan kes penipuan.


"Rangkaian ciri keselamatan yang disediakan membolehkan kami mewujudkan persekitaran selamat secara holistik untuk semua pihak yang terlibat di atas platform kami," katanya dalam kenyataan.
Kedua-dua penumpang dan rakan pemandu boleh mengaktifkan AudioProtect secara mudah dengan menekan pusat keselamatan dan kemudian memilih AudioProtect, yang mana mereka dapat melihat ‘Recording: On’.

Semua perjalanan akan mula dirakam setelah mereka mengaktifkan ciri ini. Untuk menyahaktifkan ciri ini, penumpang dan rakan pemandu boleh hentikan AudioProtect ‘Off’ dalam ‘Safety Centre’ atau menyahaktifkan ciri ini dalam akaun mereka. - DagangNews.com








