KUALA LUMPUR 8 April - Pakar kecerdasan buatan, G3 Global Bhd. mengukuhkan penyertaannya dalam perniagaan penjagaan kesihatan margin tinggi bermula dengan penjualan kit ujian COVID-19, selepas memperoleh kelulusan daripada para pemegang sahamnya.
Pengarah Urusan G3 Global, Dirk Quinten berkata, kelulusan yang diterima daripada para pemegang saham menunjukkan keyakinan mereka terhadap pengurusan dan hala tuju perniagaan strategik kumpulan.
Melangkah ke hadapan, katanya, kumpulan akan mengembangkan jejaknya dalam segmen penjagaan kesihatan dengan memanfaatkan teknologi daripada rakan kongsinya, SenseTime dan Bestinet Group, selain berusaha untuk menjadi lebih daripada sekadar pembekal kit ujian.
"Kami juga sedang meninjau untuk menyediakan perkhidmatan sokongan penjagaan kesihatan yang dipacu teknologi kepada hospital awam dan swasta tempatan dan ini akan menawarkan aliran pendapatan berulang yang baik untuk kumpulan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Secara keseluruhan, terdapat 4 resolusi dibentangkan pada Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) itu, yang kesemuanya mendapat kelulusan pemegang saham.
Resolusi pertama mengenai cadangan kepelbagaian ke dalam perniagaan berkaitan penjagaan kesihatan, manakala resolusi kedua mengenai cadangan penempatan persendirian sehingga 432,849,300 saham biasa baharu atau 20% daripada jumlah saham terbitan G3 global.
Saham baharu itu akan diterbitkan kepada pelabur bebas pihak ketiga yang mana akan dikenal pasti pada peringkat seterusnya, dan dana yang diperoleh akan digunakan untuk mengembangkan perniagaan Penjagaan Kesihatan dan ICT G3.
Di samping itu, resolusi ketiga adalah mengenai meningkatkan had kuasa untuk memperuntukkan dan menerbitkan saham daripada 10% kepada 20%, manakala resolusi keempat mencadangkan mandat pemegang saham baharu untuk RPT berulang.
Mengenai pelaksanaan penempatan persendirian, Dirk berkata, sudah mempunyai beberapa pihak yang menyatakan minat mereka terhadap G3 Global sebagai syarikat peneraju kepintaran buatan yang menyokong sektor penjagaan kesihatan.
"Bakal pelabur yakin dengan cadangan nilai yang boleh dibawa oleh kumpulan, terutamanya selepas pengambilalihan 51% kepentingan Bestinet Healthcare Sdn. Bhd. pada 8 September 2021," katanya.
Aktiviti utama Bestinet Healthcare terutamanya berkaitan dengan farmaseutikal dan ubat-ubatan serta produk kesihatan.
Pegangan saham dalam Bestinet Healthcare akan membantu meningkatkan pendapatan G3 Global dan membolehkannya meneroka peluang perniagaan tambahan pada masa hadapan.
Kumpulan juga akan memanfaatkan keupayaan kecerdasan buatan dalaman untuk menginovasi produk dan perkhidmatan baharu untuk perniagaan penjagaan kesihatan. - DagangNews.com








