Forum Kandungan gesa para penyiar amal kawalan kendiri untuk elak gangguan emosi individu  | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Forum Kandungan gesa para penyiar amal kawalan kendiri untuk elak gangguan emosi individu 

Gambar hiasan
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 22 Feb - Para penyiar digesa untuk mengamalkan kawalan kendiri sewaktu proses produksi bagi mengelakkan peristiwa yang menjatuhkan air muka individu atau "ejekan terbuka" yang muncul dalam program mereka, menurut Forum Kandungan Komunikasi dan Multimedia Malaysia (Forum Kandungan).

 

Pengarah Eksekutif Forum Kandungan, Mediha Mahmood berkata, dalam zaman tular ini, penghinaan boleh mencecah ribuan dalam masa singkat hanya dengan beberapa klik. 

 

Beliau berkata, bagi mereka yang menanggungnya, malah diperbesarkan kelemahannya dan kadang kala kekal diperkatakan untuk seluruh khalayak boleh menyebabkan tekanan psikologi serta gangguan emosi.

 

Katanya, Forum Kandungan percaya bahawa kawalan kendiri merupakan langkah terbaik untuk para penyiar dan pasukan produksi melindungi emosi individu yang muncul dalam program mereka.

 

“Sama ada program pra-rakam atau siaran langsung, para penyiar dan pasukan produksi harus mempertimbangkan langkah terbaik mereka mengawal selia kendiri bagi mengurangkan kejadian yang menjatuhkan air muka secara terbuka. 

 

“Hal ini termasuklah dengan dimaklumkan tentang cara memberikan dan menerima kritikan yang membina tanpa menggunakan kata-kata atau tindakan yang kasar,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Mediha menegaskan bahawa tidak perlu memperkenalkan peraturan baharu kepada para penyiar kerana Kod Kandungan sedia ada menyentuh langkah-langkah bagi membendung ejekan terbuka. 

 

 

forum
                                              Mediha Mahmood

 

 

Katanya, bahagian 2 Kod Kandungan mewajibkan kandungan yang disebarkan mengelak daripada memasukkan perkara yang menyinggung perasaan, kesopanan atau bersifat kesat atau mengancam. 

 

"Ini sejajar dengan Seksyen 211 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, yang melarang kandungan mengancam atau menyinggung perasaan yang bertujuan untuk menjengkelkan, menyalahgunakan, mengugut atau mengganggu mana-mana individu," katanya.

 

Sementara itu, wakil Forum Kandungan daripada Majlis Kebangsaan Pertubuhan-Pertubuhan Wanita, Prof Dr Kiranjit Kaur pula berkata, ejekan dalam talian boleh diperkuatkan menerusi media sosial dan boleh menyebabkan trauma mental yang berpanjangan kepada individu. 

 

 

forum
                                              Prof Dr Kiranjit Kaur

 

 

"Dalam kes yang melampau, mangsa ejekan terbuka telah diburukkan sepenuhnya untuk satu serangan, bagaimana pemangsa boleh membenarkan tindakan ini? 

 

"Saya fikir perlu wujud pemisah antara mengutuk tindakan untuk kebaikan kolektif dan beralih kepada buli siber secara terang-terangan,” katanya. - DagangNews.com