foodpanda tawar hadiah sebuah kondominum sempena kempen 11.11 Single's Day | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

foodpanda tawar hadiah sebuah kondominum sempena kempen 11.11 Single's Day

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 8 Nov - foodpanda Malaysia menawarkan hadiah berjumlah RM720,000, termasuk hadiah utama sebuah kondominium di KAIA Heights, Equine Park sempena kempen 11.11 Single's Day kepada seorang pengguna bertuah. 

 

Kondominium 3 bilik dengan keluasan 972 kaki persegi itu ditaja oleh pemaju hartanah, UEM Sunrise bernilai lebih daripada RM570,000.

 

Hadiah-hadiah lain, termasuk 10 unit telefon pintar Huawei Mate 50 Pro Kunlun bernilai RM7,000, 10 unit iPhone 14 Pro Max (RM5,799) dan 9 baucar foodpanda bernilai RM1,000.

 

Pengarah Pemasaran foodpanda Malaysia, Bernard Chong berkata, mereka sememangnya yakin dalam memberikan hanya yang terbaik kepada para pengguna. 

 

"Kami menyasar untuk mencipta sesuatu yang bernilai dengan menawarkan bukan sahaja hadiah yang menarik, tetapi yang turut mampu mengubah kehidupan dan mencetuskan kegembiraan.

 

"Kami berharap untuk menggalakkan lebih ramai lagi pengguna memanfaatkan platform ini dan merasai sendiri keselesaan dan kemudahan yang ditawarkan oleh platform ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Terdahulu, foodpanda turut melancarkan sebuah video yang memaparkan kisah bagaimana Pau-Pau, duta foodpanda berwarna merah jambu yang cilik, bersemangat dan disayangi ramai, bertemu dengan panda sebenar dan berhajat untuk meniru gaya hidup panda tersebut. 

 

 

foodpanda

 

 

Chong berkata, mereka berazam untuk membolehkan pelanggan yang sentiasa sibuk merasai sendiri betapa ringkas dan mudahnya penggunaan aplikasi foodpanda. 

 

"Sebagai platform yang sentiasa berkembang, kami berusaha mencipta cara yang kreatif untuk mengetengahkan falsafah jenama foodpanda. 

 

"Kami mahu menunjukkan kepada semua bagaimana hidup mereka boleh menjadi lebih mudah jika mereka memilih untuk membuat pesanan melalui foodpanda dan kami percaya bahawa hasrat ini boleh dicapai menerusi kempen ‘Hidup Gaya Panda’ atau ‘Live Like A Panda’. 

 

 

foodpanda

 

 

"Kempen ini mengingatkan pengguna bahawa mereka boleh hidup dengan tenang dan bersantai, mengetahui bahawa foodpanda akan menghantar apa yang mereka inginkan terus ke rumah mereka,” katanya.

 

Untuk Menang Seperti Seekor Panda, anda hanya perlu mengumpulkan mata setiap kali anda menggunakan aplikasi foodpanda untuk penghantaran, pengambilan makanan dan berbelanja di pandamart. Lebih tinggi nilai pesanan anda, lebih banyak mata yang boleh dikumpulkan.

 

 

foodpanda

 

 

Gunakan kod promosi ‘PANDA’ apabila anda membuat pembayaran untuk melayakkan diri dan mengambil bahagian dalam pertandingan ini. 

 

Semua pelanggan pandapro akan memperolehi mata berganda secara automatik untuk semua pesanan yang dibuat dan mereka yang belum melanggan juga boleh mendapatkan mata berganda semasa minggu 11.11 (7 hingga 13 November 2022). Pertandingan istimewa ini berlangsung dari 1 hingga 30 November 2022.

 

Selain itu, orang ramai boleh menyaksikan video penuh kempen falsafah ‘Live Like a Panda’ di dalam saluran YouTube. - DagangNews.com