KUALA LUMPUR 26 Mei - Shopee hari ini mengumumkan Iklan Facebook atau Facebook Ads kini tersedia secara rasmi di Pusat Penjual Shopee di Malaysia, Indonesia, Filipina, Singapura, Taiwan, Thailand dan Vietnam.
Shopee dalam satu kenyataan memaklumkan, ia sekali gus memperkasakan komuniti terbesar di rantau tersebut dengan lebih 20 juta penjual menerusi alatan baharu untuk mengembangkan perniagaan mereka.
Katanya, integrasi itu membolehkan para penjual meningkatkan kehadiran dalam talian mereka dengan memanfaatkan saluran Facebook, Instagram dan Audience Network demi membantu membawa trafik ke kedai Shopee rasmi mereka.
"Facebook Ads turut membolehkan pemperibadian yang lebih lagi bagi iklan yang disiarkan berdasarkan pilihan dan tingkah laku pengguna di platform, sekali gus menggalakkan pembelian dan memaksimumkan pertumbuhan jualan.
"Pusat Penjual Shopee menawarkan sebuah platform sehenti untuk membantu para penjual mengurus kedai mereka secara mudah, memberikan mereka akses kepada rangkaian alat pemasaran dan data yang lengkap untuk membuat penyenaraian, menjalankan promosi dan mengoptimumkan prestasi perniagaan dalam talian mereka.
"Mereka kini boleh menyediakan, melancarkan dan mengurus kempen Facebook Ads dengan mudah dan cepat melalui Pusat Penjual Shopee," jelas kenyataan itu.
Ketua Kempen Pemasaran Shopee Malaysia, Kenneth Soh berkata, mewujudkan kerjasama bersama Meta untuk melancarkan Facebook Ads di Pusat Penjual Shopee akan memberi impak yang besar kepada para penjual secara positif.
"Kini, para penjual kami dapat menggunakan dan memanfaatkan satu ciri tambahan di Pusat Penjual kami bersama-sama dengan penyelesaian pemasaran Shopee yang lain demi meningkatkan keterlihatan kedai Shopee dan produk mereka kepada lebih ramai pembeli yang berminat.
"Kami akan terus mengembangkan ekosistem kami menerusi lebih banyak kerjasama utama seperti kerjasama kami bersama Meta. Ini adalah untuk terus menyokong para penjual kami dengan lebih banyak peluang agar mereka dapat menambah baik perniagaan dan meningkatkan kemahiran secara digital," katanya.
Pengarah Negara Meta Singapura, Damian Kim berkata, penemuan digital kekal penting dalam memacu permintaan dan jualan.
"Saya teruja bahawa pelancaran Facebook Ads menerusi Pusat Penjual Shopee akan menjadi enjin yang membolehkan ribuan penjual mempunyai akses yang saksama dan lebih mudah untuk memanfaatkan Facebook Ads yang akan menghubungkan mereka dengan pelanggan yang baharu serta mengembangkan perniagaan mereka," katanya. - DagangNews.com







