ETCM perkenal model facelift EV Nissan Leaf 2023 berharga RM168,888 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

ETCM perkenal model facelift EV Nissan Leaf 2023 berharga RM168,888

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 10 Mac - Edaran Tan Chong Motor (ETCM) memperkenalkan kenderaan elektrik (EV) Nissan Leaf baharu 2023, model EV pertama dikeluarkan sejak diperkenal pada 2010. 

 

Kini, ia merupakan salah satu EV yang terlaris di dunia dengan jualan dunia melebihi 600,000 unit.

 

Model baharu ini merupakan versi dipertingkatkan daripada generasi kedua sejak ia diperkenalkan pada 2019. Ia dilengkapi dengan ciri baharu yang boleh meningkatkan keterujaan dan keseronokan semasa memandu di zaman elektrikfikasi ini.

 

ETCM dalam kenyataan memaklumkan, pelanggan boleh mendapatkan Nissan Leaf dengan harga RM168,888 (pengecualian cukai jualan, tidak termasuk insurans) dengan jaminan kenderaan selama 3 tahun atau 100,000 kilometer (km) serta jaminan bateri 'lithium-ion' selama 8 tahun atau 160,000 km.

 

Katanya, dengan selang servis berjadual 20,000 km, Nissan LEAF hanya memerlukan RM300 setahun, ini merupakan kos penyelenggaraan yang amat berpatutan.

 

"Untuk alternatif, Nissan Leaf baharu turut menawarkan Program Langganan Leaf demi memberikan pengalaman pemilikan tanpa kerisauan. 

 

"Dengan program langganan, tiada bayaran terdahulu diperlukan dan pemilik hanya membayar ansuran bulanan sebanyak RM1,800 untuk kontrak selama 3 tahun," katanya.

 

 

nissan

 

 

Tambahan pula, bagi pelanggan yang ingin menaik taraf kepada model Nissan lain apabila tempoh program langganan tamat, pelanggan tidak perlu risau pelupusan kereta dengan memulangkan Nissan Leaf dan memilih kereta Nissan lain atau tamatkan kontrak 3 tahun.

 

Sementara itu, pelanggan yang membeli Nissan Leaf boleh mendapatkan keahlian JomCharge selama 12 bulan secara percuma (bernilai RM600) untuk mengecaskan kenderaan elektrik di stesen pegecas awam serta tinted sejuk percuma bernilai RM2,200. 

 

 

nissan

 

 

nissan

 

 

Manakala, pelanggan yang memilih program langganan turut menikmati diskaun 50% bagi tinted sejuk dan RM300 subsidi bagi keahlian JomCharge selama 12 bulan.

 

Sebagai satu program keistimewaan pemilik Nissan Leaf baharu yang eksklusif, ETCM membolehkan pemilik menggunakan model Nissan terpilih selama 23 hari setahun secara percuma dalam tempoh 3 tahun pertama pemilikan. 

 

 

nissan

 

 

Ia bagi memenuhi keperluan perjalanan khas bagi perjalanan balik kampung atau keperluan pengembaraan lain. Model-model tersedia termasuk SUV X-Trail, MPV Serena dan trak pikap Navara. - DagangNews.com