KUALA LUMPUR 10 Nov - EdgePoint Infrastructure (EdgePoint) telah menandatangani perjanjian bersama dengan penyedia perkhidmatan telekomunikasi, TIME dotCom Berhad (Time) untuk infrastruktur rangkaian capaian akhir (last mile).
Selaras dengan perjanjian itu, Time akan menyediakan perkhidmatan sambungan di tapak EdgePoint, memasang infrastruktur untuk menyambung rangkaian tulang belakang Time dengan infrastruktur telekomunikasi EdgePoint.
Ketua Pegawai Eksekutif EdgePoint Towers Sdn Bhd, Muniff Kamaruddin berkata, pihaknya berbesar hati untuk bekerjasama dengan Time meneruskan impak EdgePoint dalam menyokong pelancaran 5G di seluruh negara.
"Permintaan yang meningkat untuk data telah mewujudkan keperluan mendesak untuk gentian. Ini akan mengukuhkan keupayaan kami sebagai towerco bersepadu. EdgePoint mempunyai peranan penting dalam transformasi digital negara kita.
"Usaha kami untuk mengembangkan perkongsian seperti ini juga selaras dengan matlamat kami untuk membuka kunci potensi pengendali rangkaian mudah alih (MNO) melalui penggunaan infrastruktur menara kami," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Naib Presiden Eksekutif Time Wholesale, Ganesh Sivasamboo pula berkata, akses Time kepada infrastruktur menara EdgePoint akan membolehkan mereka mengukuhkan tawaran perkhidmatan kepada MNO melalui infrastruktur last mile yang lebih mantap.
"Dengan mengoptimumkan sinergi yang ditawarkan oleh towercos pihak ketiga, kami gembira untuk memainkan peranan kami dalam membina infrastruktur digital negara," katanya. - DagangNews.com








