KUALA LUMPUR 6 Sept - EdgePoint Infrastructure, syarikat telekomunikasi dan infrastruktur yang berpusat di ASEAN, melalui EdgePoint Towers Sdn Bhd bekerjasama dengan Sunway Group untuk menaik taraf infrastruktur telekomunikasi di Sunway City Kuala Lumpur.
Projek naik taraf ini melibatkan pusat beli-belah Sunway Pyramid, Sunway Pyramid Convention Centre dan juga Sunway Medical Centre.
EdgePoint akan memasang sistem neutral hosted In-building Coverage (IBC) yang telah diperbaharui di pusat beli-belah dan juga di pusat konvensyen.
Sistem liputan generasi baharu ini menyokong teknologi 5G akan membolehkan liputan rangkaian mudah-alih yang lancar dan sekata di seluruh pusat membeli-belah, sejajar dengan sasaran Sunway untuk menyediakan sambungan yang lancar untuk memenuhi keperluan pengunjung tahunan mencecah sebanyak 42 juta orang.
Perjanjian ini juga akan menyaksikan sistem IBC dipasang di lokasi-lokasi komersial milik Sunway yang lain.
Ketua Pegawai Eksekutif EdgePoint Towers, Muniff Kamaruddin berkata, pihaknya mempunyai kesediaan operasi dan keupayaan kewangan untuk melancarkan sistem IBC neutral yang serasi dengan semua Operator Rangkaian Mudah Alih, sejajar dengan keperluan Sunway Group.
"Kejayaan projek ini, dengan usaha sama salah satu konglomerat terkemuka di Asia Tenggara akan mengukuhkan lagi kedudukan EdgePoint sebagai rakan kongsi infrastruktur generasi akan datang," katanya dalam kenyataan media di sini hari ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Sunway Digital Wave Sdn Bhd, Anandan Balakrishnan pula berkata, pihaknya memahami bahawa sambungan yang lancar adalah sebahagian daripada gaya hidup pelanggan sekarang, terutamanya dengan kewujudan e-dompet sebagai pilihan pembayaran.
Katanya, pihaknya memulakan usaha ini untuk memastikan mereka sentiasa dilengkapi untuk menyediakan sambungan yang terbaik pada setiap masa.
"Kami telah menjumpai rakan towerco yang mempunyai kapasiti untuk memenuhi keperluan kami dan juga berupaya untuk menyambungkan kesemua Operator Rangkaian Mudah Alih di Malaysia ke infrastruktur komunikasi kami.
"Cerapan industri mereka, hubungan kukuh dan pasukan rekabentuk dalaman yang disokong analisis yang lengkap akan membantu kami mengembangkan infrastruktur telekomunikasi baharu ke lokasi-lokasi komersial milik Sunway yang lain pada masa akan datang," katanya. - DagangNews.com








