ECERDC capai RM2 bilion pelaburan komited di Terengganu setakat 31 Ogos | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

ECERDC capai RM2 bilion pelaburan komited di Terengganu setakat 31 Ogos

Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar (kanan) mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pelaksanaan dan Penyelarasan (ICC) ECER Terengganu
Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 11 Sept - Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) telah mencapai RM2 bilion pelaburan komited tahun ini setakat 31 Ogos 2023 di Terengganu, merangkumi 66% daripada sasaran RM3 bilion negeri.

 

Dalam satu kenyataan media hari ini, ECERDC berkata sejumlah 87% atau RM1.7 bilion daripada jumlah tersebut adalah pelaburan langsung asing (FDI) dalam sektor pembuatan, manakala baki 13% adalah pelaburan langsung domestik (DDI) dalam sektor pembuatan dan pelancongan.

 

Badan berkanun terbabit turut merekodkan pelaburan direalisasikan yang berjumlah RM1 bilion dalam sektor pembuatan dan pelancongan.

 

Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata Terengganu berjaya mengekalkan daya saing dalam menarik pelabur ke negeri itu berkat inisiatif ECERDC melalui kerjasama erat dengan Kerajaan Negeri.

 

“Kerajaan Negeri Terengganu juga positif terhadap kerjasama dengan Kerajaan Persekutuan menerusi ECERDC kerana ia membuka peluang pertumbuhan dalam usaha kami untuk menarik pelaburan dalam pelbagai sektor ke Terengganu.

 

“Kami gembira kerana pelaburan dalam sektor selain OGP (minyak, gas dan petrokimia) telah direalisasikan dan pelabur baharu dapat memanfaatkan kekayaan sumber asli, infrastruktur dan ekosistem pelaburan yang matang di negeri Terengganu,” ujar beliau sewaktu mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pelaksanaan dan Penyelarasan (ICC) ECER Terengganu.

 

 

Ahli Jawatankuasa ICC Terengganu yang menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Pelaksanaan dan Penyelarasan (ICC) ECER Terengganu.
Ahli Jawatankuasa ICC Terengganu yang menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Pelaksanaan dan Penyelarasan (ICC) ECER Terengganu.

 

 

Selain pelaburan, antara topik utama yang dibincangkan ketika mesyuarat tersebut adalah beberapa projek untuk meningkatkan pendapatan golongan miskin tegar dan B40 di bawah Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) termasuk projek fertigasi cili yang akan bermula tidak lama lagi di Hulu Terengganu.

 

Mengulas tentang projek fertigasi cili, Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC, Datuk Baidzawi Che Mat berkata projek terbabit ia akan dijalankan secara komersial berskala besar di Setiu yang telah diluluskan oleh Kementerian Ekonomi di bawah program IPR-INTAN, yang akan menyokong agenda keterjaminan makanan negara.

 

“Di bawah model syarikat induk, 100 peserta daripada golongan miskin tegar dan B40 akan mendapat manfaat dalam fasa pertama pelaksanaan. Pada fasa kedua, 40 orang peserta lagi akan dipilih sebagai pekerja oleh syarikat induk yang akan dilantik pada Disember 2023.

 

“Pekerja dijamin akan mendapat gaji minimum RM2,000 sebulan termasuk elaun. ECERDC akan menjalankan tugas sebagai agensi pelaksana bagi projek seluas 80 ekar (32 hektar) ini,” ujar beliau.

 

Baidzawi berkata projek tersebut akan diperluaskan ke negeri lain termasuk daerah Segamat di Johor, Kelantan dan Pahang, yang bakal memberi manfaat kepada 240 peserta secara keseluruhan.

 

Ketika mesyuarat tersebut, Ahli Jawatankuasa ICC Terengganu turut mendengar pembentangan tentang perkembangan perancangan dan pelaksanaan projek Lebuhraya Pantai Timur Fasa 3 (LPT 3), pembinaan sistem perlindungan pantai bagi projek jalan dari Lapangan Terbang Sultan Mahmud ke Kuala Terengganu City Centre (KTCC) yang telah siap pada Mei 2023 dan projek Promenad KTCC Fasa 1 yang telah bermula pada 15 Mei 2023 yang lalu.  - DagangNews.com