KUALA LUMPUR 5 Sept - Syarikat Nota Amalan 17 (PN17), EA Technique (M) Berhad berjaya mendapatkan lanjutan enam bulan lagi bagi menyerahkan pelan penyusunan semula mereka.
Kumpulan itu dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia berkata, pihaknya diberikan tempoh sehingga 23 Februari 2024 untuk menyerahkan pelan penyusunan semula itu.
Bursa Securities sebelum ini memberikan EA Technique lanjutan enam bulan sehingga 24 Ogos 2023 untuk menyerahkan pelan itu.
Ini berlaku selepas perjanjian langganan saham yang dimeterai pada Mac 2023 dengan Eco Offshore Services Sdn. Bhd. (EOSSB) dan dua individu, Tan Sri Abdul Halim Ali dan Khiruddin Ibrahim Said, telah ditamatkan secara bersama.
EOSSB ialah pelaburan yang dimiliki oleh pengasas bersama Eco World Development Group Berhad, Tan Sri Abdul Rashid Abdul Manaf.
Sekiranya perjanjian langganan itu menjadi kenyataan, Abdul Rashid akan muncul sebagai pemegang saham kawalan EA Technique dengan 53% kepentingan.
EA Technique jatuh ke status PN17 pada Februari 2022 kerana ekuiti pemegang sahamnya sebanyak RM5.96 juta, pada 31 Disember 2021, adalah kurang daripada 50% daripada modal sahamnya sebanyak RM179.76 juta. - DagangNews.com








