KUALA LUMPUR 6 Sept - Platform pinjaman digital, Direct Lending bekerjasama dengan jenama penyedia servis kereta yang diiktiraf, Petronas AutoExpert menawarkan pelan ansuran servis kereta digital sepenuhnya yang patuh syariah kepada pemilik kenderaan.
Melalui kerjasama itu, Petronas AutoExpert akan menggunakan model ‘Buy Now Pay Later’ (BNPL), bagi menjadikan perkhidmatan servis kereta lebih ringkas dan mudah diakses, yang mana dapat mengurangkan beban kepada pengguna.
Ketua Pegawai Eksekutif Petronas Lubricants Marketing Malaysia Sdn Bhd, Mohd Zameer Zahur Hussain berkata, pengguna disaran untuk mengambil peluang dengan pembayaran ansuran Direct Lending di semua cawangan Petronas AutoExpert.
Beliau berkata, ia ternyata dapat mengurangi beban perbelanjaan dengan lebih efisien terutama dalam penjagaan kenderaan keluarga.
"Dengan hanya tiga langkah mudah, pemohon boleh mendapatkan pembiayaan dengan pantas dengan mengisi butiran mereka, menyerahkan kad pengenalan bersama penyata bank tiga bulan terkini, dan mengakhiri proses tersebut dengan membuat pembayaran pertama.
"Selain itu pembayaran bulanan dan menandatangani perjanjian pembiayaan, semuanya dilakukan melalui teknologi telefon pintar. Para pelanggan Petronas AutoExpert boleh memohon pelan ansuran ini melalui imbasan kod QR yang disediakan di pusat Petronas AutoExpert yang terlibat," katanya dalam kenyataan media di sini hari ini.
Pengasas Direct Lending, Hui Yik Seong pula berkata, pihaknya berbesar hati untuk menawarkan pelan ansuran yang mematuhi prinsip syariah, memberi manfaat kepada semua, termasuk pelanggan yang dihargai Petronas AutoExpert.

Katanya, kerjasama ini bertujuan untuk meringankan beban kewangan penyelenggaraan kenderaan, komponen yang haus atau rosak boleh memudaratkan prestasi kereta, merisikokan pemandu, penumpang dan pengguna jalan raya.
"Kami berharap pembiayaan yang lebih inklusif dan mesra pengguna untuk rakyat Malaysia ini, dapat memudahkan perjalanan pemilikan kenderaan mereka secara keseluruhan," katanya.
Dalam pada itu, kerjasama ini turut menyaksikan Petronas AutoExpert akan memperoleh manfaat daripada tawaran inovatif berkenaan tanpa sebarang kos bagi tempoh minimum 2 tahun.
Selain itu, semua kakitangan Petronas juga bakal menikmati kadar pembiayaan yang lebih rendah apabila menggunakan pelan ansuran ini di mana-mana pusat Petronas AutoExpert.
Tawaran istimewa ini juga sejajar dengan matlamat syarikat untuk meningkatkan gaya hidup pekerja termasuk pelanggan. - DagangNews.com








