KUALA LUMPUR 11 Feb - CGS-CIMB Research mengekalkan penarafan saham Capital A Bhd. dengan saranan 'kurang' dengan harga sasaran (TP) pada 9 sen di sebalik pembukaan semula sempadan antarabangsa sepenuhnya.
Meskipun, AirAsia akan meraih manfaat daripada pembukaan semula sempadan ini tetapi cabaran yang ketara masih kekal, demikian menurut penganalisisnya, Raymond Yap dalam nota kajian hari ini.
Ini kerana jelasnya, beberapa negara jiran serantau yang ramai penduduk masih menyekat ketibaan pelancong seperti Indonesia, Vietnam, Hong Kong, China dan India.
Pada masa sama, katanya, penyertaan syarikat penerbangan baharu seperti MYAirline dilihat akan memberi persaingan sengit kepada pemain sedia ada seperti Malaysia Airlines dan Malindo, dan mungkin memberi tekanan kepada harga tiket walaupun jumlah trafik kembali pulih.
"Harga bahan api jet pula meningkat kepada AS$110 setong setakat semalam, berbanding AS$66 setong pada separuh pertama 2021 dan AS$90 setong pada separuh kedua 2021, dengan AirAsia tidak mempunyai lindung nilai bahan api.
"Cabaran terakhir pula, kemungkinan nyahsenarai masih tergantung dengan Capital A diklasifikasi sebagai syarikat Nota Amalan 17 (PN17) sejak 7 Januari lalu," katanya.
Saham AirAsia Group Bhd mula ditukar kepada Capital A berkuat kuasa semalam dan kumpulan akan mengumumkan beberapa perubahan penting organisasi dalam sidang akhbar hari ini.
Awal Januari lalu, syarikat penerbangan tambang rendah itu menjelaskan bahawa perubahan nama berkenaan disasarkan untuk memberikan identiti korporat baharu yang menawarkan gambaran lebih baik terhadap perniagaan teras dan perancangan masa hadapannya.
Perubahan itu juga adalah sejajar dengan transformasi pantas syarikat itu daripada sebuah syarikat penerbangan menjadi entiti pengembaraan dan gaya hidup digital.
Pada Selasa, Majlis Pemulihan Negara (MPN) yang dipengerusikan Tan Sri Muhyiddin Yassin bersetuju dengan cadangan supaya Malaysia membuka sepenuhnya sempadan negara tanpa keperluan kuarantin wajib, seawal 1 Mac depan bagi menyokong pemulihan ekonomi negara.
Bagaimanapun MPN menegaskan, pembukaan sempadan kepada semua negara itu perlu dilaksanakan secara terancang dan berdasarkan penilaian risiko semasa.
Menurut Yap, potensi kepada penarafan semula Capital A bergantung kepada penutupan sempadan antarabangsa yang lebih lama daripada jangkaan memandangkan beberapa negara masih mengekalkan larangan perjalanan dan sekatan kemasukan pelancong bagi mengelakkan kes import COVID-19 disebabkan penularan varian Omicron.
Bagaimanapun, katanya, sejak MPN mengesyorkan pembukaan sempadan negara tanpa kuarantin wajib, harga sahamnya telah melonjak sebanyak 22% dalam tempoh 2 hari.
Setakat 10.15 pagi ini, harga saham Capital A menokok 0.05 sen atau 0.75% kepada 67 sen dengan 5.56 juta saham diniagakan. - DagangNews.com








