KUALA LUMPUR 13 Sept - Dentsu Creative Malaysia telah dipilih oleh Telekom Malaysia Berhad (TM) sebagai agensi kreatif utama untuk Unifi Mobile, yang bertanggungjawab membangunkan kempen untuk Unifi Mobile.
Jelasnya, kempen tersebut melibatkan segmen prabayar, pascabayar dan peranti melalui pemikiran strategik, pembangunan kreatif dan memulakan pelan pemasaran kepada pelanggan untuk tiga tahun akan datang sehingga April 2026.
Setelah menunjukkan kekuatan strategik dan kreatif mereka di pelbagai agensi, Dentsu Creative kini akan memberi tumpuan kepada kerjasama dengan Unifi Mobile untuk agenda pertumbuhan mereka yang memerlukan pembezaan dan pemikiran kreatif.
Ketua Pegawai Eksekutif Dentsu Creative, Kunal Roy berkata syarikat itu berbangga diiktiraf sebagai salah satu panel agensi TM Group dan menerajui bidang kreatif Unifi Mobile memandangkan ia merupakan jenama yang memiliki personaliti baharu dan bercita-cita besar.

“Di Dentsu Creative, kami percaya cabaran besar adalah di mana kuasa kreativiti terbukti terbaik. Kami mahu menjadi rakan kongsi TM Group untuk pertumbuhan dan melalui pendekatan kami terhadap kreativiti moden, kami akan memastikan bahawa apa sahaja dilakukan mempunyai impak nyata – pada perniagaan, untuk jenama, dalam masyarakat dan budaya.
“Sudah tentu, semua ini dapat dicapai sekiranya kita mempunyai orang yang tepat bergabung atas tujuan sama dan kami telah memupuk pasukan hebat untuk kerjasama baharu ini,” ujar beliau dalam satu kenyataan media hari ini.
Sementara itu, Rakan Kongsi Pelanggan Dentsu Creative, Rishu Verma menambah beliau berbesar hati menerajui perniagaan TM dan Unifi dan kerjasama rapat dengan pelanggan telah dijalin dan menikmati semangat kerjasama.
“Dengan pasukan yang hebat, kami kini bersedia sepenuhnya untuk mengikuti dan bahkan mempercepatkan trajektori pertumbuhan Unifi.
“Pada bulan-bulan berikutnya, akan ada beberapa kerja berbeza dan berkesan yang akan dijalankan untuk Uni5G dan kami semua sangat teruja dengan masa hadapan,” katanya.
Dentsu Creative berkata ia teruja untuk memperdalam kerjasama dan komitmen terhadap jenama tersebut dengan merangka kempen, yang bukan sahaja meningkatkan kedudukan pasaran Unifi tetapi juga menjalin hubungan kukuh dan berkekalan dengan pengguna.
Menyedari dinamik perubahan jangkaan pasaran, Dentsu Creative bersedia untuk menghidupkan semula Unifi bagi menawan hati dan minda pengguna. - DagangNews.com








