Cypark berdepan sentimen pelabur yang lemah, CGS-CIMB turunkan TP kepada 39 sen | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Cypark berdepan sentimen pelabur yang lemah, CGS-CIMB turunkan TP kepada 39 sen

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 1 Julai - CGS-CIMB Research menyemak turun harga sasaran (TP) Cypark Resources Bhd. kepada 39 sen daripada 85 sen sebelum ini, dengan mengekalkan saranan 'pegang' selepas kumpulan melaporkan tahun kewangan suku kedua di bawah jangkaan firma. 

 

Pada suku berakhir 30 April 2022 itu, untung bersih Cypark susut 19.5% kepada RM14.52 juta berbanding RM18.03 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya disebabkan penurunan hasil daripada kontrak turnkey kerana pembinaan projek solar berskala besar 2 (LSS 2) sedang dilaksanakan.

 

Pendapatan bagi tempoh itu juga susut 11.82% kepada RM75.81 juta daripada RM85.97 juta bagi tempoh sama tahun kewangan 2021.

 

Menurut firma itu, untung bersih teras pada separuh pertama itu berada di bawah jangkaannya sebanyak 29% manakala 30% bagi anggaran konsensus Bloomberg bagi tahun penuh berikutan prestasi segmen tenaga boleh diperbaharui (RE) yang lemah daripada jangkaan.

 

Ia mendapati loji sisa kepada tenaga (WTE) kumpulan berkapasiti 20MW di Ladang Tanah Merah akan mencapai tarikh operasi komersial (COD) menjelang akhir September 2022.

 

Katanya, ia memandangkan pengujian dan pentauliahan (T&C) sedang berjalan manakala kemudahan pengasingan dan kitar semula sisa telah diuji dan bersedia untuk mengendalikan sisa pepejal yang masuk.

 

"Sementara itu, loji LSS2 berkapasiti 30MW pula akan mencapai COD menjelang September 2022 dan projek LSS3 berkapasiti 100MW di Terengganu, dijadualkan siap pada Disember 2022. 

 

"Kumpulan menyasarkan untuk mendapatkan beberapa kontrak kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPPC) daripada syarikat yang memenangi kontrak LSS 4," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

CGS-CIMB berkata, harga saham Cypark telah merosot lebih 50% sejak akhir April lalu, berikutan kebimbangan sama ada ia dapat memenuhi obligasi hutangnya dan mengenai pelupusan kepentingan oleh pemegang saham utamanya.

 

Baru-baru ini, kumpulan menafikan dakwaan yang tukar dalam beberapa blog dan laman web bahawa ia menyembunyikan maklumat yang dianggap berkaitan dengan pelabur.

 

"Walaupun penilaiannya kelihatan murah pada masa ini, tetapi kami melihat risiko daripada sentimen pelabur yang lebih lemah (disebabkan oleh laporan yang tular itu), potensi kelewatan selanjutnya dalam COD loji, dan potensi pelupusan tunai/pelupusan aset untuk membiayai projek pada masa depan," jelasnya.

 

Ini mendorong firma itu mengurangkan pendapatan sesaham bagi tahun kewangan berakhir 31 Oktober 2022 (FY22) hingga FY24 antara 8 hingga 18% yang mencerminkan kelewatan COD dan kemungkinan margin yang lebih kecil disebabkan kos buruh dan bahan mentah yang lebih tinggi. - DagangNews.com