Cuti Aidiladha: PLUS sedia bantu 1.9 juta pengguna lebuh raya nikmati perjalanan selamat | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Cuti Aidiladha: PLUS sedia bantu 1.9 juta pengguna lebuh raya nikmati perjalanan selamat

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 7 Julai - PLUS Malaysia Berhad (PLUS) mengambil langkah proaktif untuk membantu pengguna lebuh raya kendaliannya menikmati perjalanan yang selamat dan selesa sempena cuti perayaan Aidiladha ini.

 

Ketua Pegawai Operasi PLUS, Datuk Zakaria Ahmad Zabidi, pihaknya menjangkakan kira-kira 1.9 juta kenderaan akan berada di lebuh raya pada Aidiladha ini berbanding 1.8 juta kenderaan sehari pada hari-hari biasa, terutamanya pada hari-hari puncak iaitu 8 Julai (Jumaat) dan 11 Julai (Isnin).

 

“Oleh itu, PLUS telah membuat persiapan untuk menguruskan lonjakan trafik ini melalui pelbagai pendekatan dalam membantu pengguna menikmati perjalanan yang selamat dan selesa di musim perayaan ini," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Menurut Zakaria, PLUS akan menambah bilangan pasukan anggota PLUSRonda dalam memberikan bantuan di lebuh raya. 

 

Beliau berkata, sepanjang tempoh perayaan Aidiladha, kira-kira 265 pasukan PLUSRonda akan ditugaskan bagi meningkatkan rondaan terutamanya di lokasi-lokasi kritikal sepanjang lebuh raya. 

 

“Di laluan-laluan tertentu, PLUS bersedia untuk mengaktifkan Laluan Kontra dan membuka lorong kecemasan sebagai laluan tambahan dengan bantuan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM). Pengguna lebuh raya dinasihatkan supaya mematuhi arahan yang diberikan menerusi papan tanda di lokasi laluan kontra dan pembukaan lorong kecemasan. 

 

“Di samping itu, PLUS juga akan menghentikan semua kerja-kerja penyelenggaraan jalan dan penutupan laluan di lebuh raya bermula 8 Julai hingga 12 Julai untuk mengelakkan kesesakan," katanya.

 

 

plus

 

 

Pada masa sama katanya, PLUS akan meneruskan kolaborasi bersama agensi-agensi penguatkuasaan dan kecemasan seperti PDRM, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) dan ambulans. 

 

"Ketika pasukan polis dan JPJ mengadakan rondaan dan penguatkuasaan undang-undang di lebuh raya, pasukan bantuan kecemasan antaranya bomba dan ambulans diletakkan dalam keadaan bersedia di plaza-plaza tol yang strategik dan bersedia ditugaskan ke lokasi insiden apabila diperlukan," katanya.

 

Sekiranya pengguna lebuh raya memerlukan bantuan di lebuh raya, sila hubungi talian PLUSLine di 1800-88-0000, atau klik butang SOS pada aplikasi PLUS. 

 

Maklumat trafik terkini juga disediakan melalui perkhidmatan Twitter @PLUSTrafik, aplikasi PLUS, Chatbot PUTRI, papan tanda mesej elektronik (VMS) di sepanjang lebuh raya dan pengumuman trafik semasa melalui stesen-stesen radio utama. - DagangNews.com