KUALA LUMPUR 19 Okt - Ketua Pegawai Operasi (COO) MEASAT Global Berhad (MEASAT), Yau Chyong Lim telah diiktiraf oleh Majlis Komunikasi Satelit Asia Pasifik (APSCC) apabila menerima Anugerah Eksekutif Satelit Terbaik Tahun 2022 pada Majlis Anugerah APSCC 2022 di Seoul, Korea Selatan semalam.
Anugerah itu mengiktiraf pencapaian kepimpinan cemerlang oleh eksekutif industri dan impak yang berkekalan daripada pencapaian tersebut dalam industri satelit dan angkasa lepas.
Yau berkata, anugerah itu mendorongnya dan rakan sekerja di MEASAT untuk bekerja lebih keras dan menyumbang lebih banyak kepada Malaysia dan industri satelit secara keseluruhan.
"Saya amat berbesar hati dan terdapat begitu ramai orang di sebalik pencapaian ini. Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada pasukan di MEASAT, Kementerian Komunikasi dan Multimedia dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia atas sokongan berterusan mereka sepanjang perjalanan.
"Terima kasih juga kepada Hughes Network Systems kerana mencalonkan saya untuk anugerah ini," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dengan lebih daripada 25 tahun dalam industri satelit, Yau telah memainkan peranan penting dalam mengubah MEASAT daripada penyedia platform siaran berasaskan video dan syarikat pemajakan jalur lebar kepada syarikat penyelesaian perkhidmatan jalur lebar penuh.
Di bawah kepimpinannya, MEASAT telah mengembangkan peranannya sebagai penyedia perkhidmatan jalur lebar luar bandar utama Malaysia melalui perkhidmatan jalur lebar satelit CONNECTme NOW.

Baru-baru ini, beliau mengetuai pasukan MEASAT ke arah kejayaan pelancaran satelit MEASAT-3d berbilang misi, menyediakan redundansi satelit dalam orbit yang tiada tandingan untuk perkhidmatan DTH, penyiaran dan telekomunikasi untuk rantau ini.
Ia juga meliputi kelajuan jalur lebar sehingga 100 Mbps di seluruh Malaysia termasuk kawasan yang mempunyai liputan darat yang terhad atau tiada.
Anugerah tahun ini meneruskan kesinambungan membanggakan bagi kakitangan MEASAT yang menerima pengiktirafan daripada APSCC.
Sebelum ini Naib Presiden Kanan bagi Pembangunan Sistem Angkasa MEASAT, Dr Ali R. Ebadi menerima Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat APSCC pada tahun 2013 dan Anugerah Khas APSCC pada tahun 2008.
Selain itu, jurutera baharu dari syarikat itu telah memenangi Anugerah Bakat Muda APSCC pada 2018 dan 2019. - DagangNews.com








