Co-opbank Pertama umum dividen tertinggi lebih RM60 juta, keuntungan melonjak 20% pada FY22 | DagangNews Skip to main content

Co-opbank Pertama umum dividen tertinggi lebih RM60 juta, keuntungan melonjak 20% pada FY22

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 6 Julai - Co-opbank Pertama (CBP) mengumumkan dividen berjumlah lebih RM60.9 juta kepada pemegang-pemegang syer bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022.

 

Pembayaran dividen bagi tahun kewangan 2022 yang berjumlah lebih RM60.9 juta ini merupakan jumlah yang tertinggi dalam sejarah penubuhan CBP sejak 1950.

 

Ketua Pegawai Eksekutif CBP, Khairil Anuar Mohamad Anuar berkata, Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) meluluskan pembayaran dividen bagi syer biasa dan syer keutamaan (iRCPS) CBP bagi tahun kewangan berakhir 2022 seperti yang dimohon oleh CBP.

 

"Bagi tahun 2022, jumlah pembayaran dividen yang dibayar adalah sebanyak RM60.9 juta berbanding tahun 2021 yang berjumlah RM58.9 juta. 

 

"Peningkatan jumlah bayaran ini akan memberi manfaat kepada 91,133 anggota CBP yang layak. Jumlah syer keseluruhan CBP adalah RM985.4 juta setakat 31 Disember 2022," katanya dalam kenyataan media di sini.

 

Menurut Khairil Anuar, kadar dividen bersih bagi 2022 adalah sebanyak 6.88% bagi syer iRCPS dan 6.30% bagi syer biasa dan ini juga adalah setanding dengan jumlah dividen yang dibayar dana pelaburan lain di Malaysia.

 

Bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022, CBP merekodkan keuntungan sebelum cukai sebanyak RM103.4 juta iaitu peningkatan sebanyak 20% berbanding tahun sebelumnya berjumlah RM86.1 juta. 

 

 

cbp
                                              Khairil Anuar Mohamad Anuar

 

 

Prestasi baik ini didorong oleh pelaksanaan strategi perniagaan yang berkesan oleh pengurusan CBP.

 

Anggota CBP digalakkan untuk membuat pengeluaran dividen secara atas talian melalui laman web e-Semakan CBP bermula 7 Julai 2023. 

 

Penyata dividen boleh disemak mulai 11 Julai 2023 di https://dividen.cbp.com.my. - DagangNews.com