CMTM gesa kerajaan tangguh pelaksanaan RUU GEG | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

CMTM gesa kerajaan tangguh pelaksanaan RUU GEG

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 29 Sept - Gabungan Pengilang Tembakau Malaysia (CMTM) menggesa kerajaan menangguhkan cadangan Rang Undang-Undang (RUU) berkaitan Generational End Game (GEG) untuk memberi Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSSC) lebih masa bagi menjalankan semakan dan perundingan lanjut.

 

CMTM yang terdiri daripada British American Tobacco (Malaysia) Bhd, JT International Berhad dan Philip Morris (Malaysia) Sdn Bhd berkata, pihaknya menyuarakan kebimbangan serius mengenai keadaan tergesa-gesa yang tidak wajar untuk membentangkan semula RUU pada sesi Parlimen akan datang.

 

Menurutnya, isu mengenai perlembagaan, kuasa penguatkuasaan yang luas, penalti yang tinggi, hak pengguna dan mekanisme pelaksanaan GEG belum ditangani. 

 

"Cadangan GEG jika diluluskan, hanya dijadualkan berkuat kuasa pada 2025 iaitu apabila mereka yang lahir selepas 1 Januari 2007 akan berumur 18 tahun. Tiada keperluan segera untuk meluluskan cadangan GEG kerana terdapat masa yang mencukupi dalam tempoh dua tahun akan datang untuk menyelesaikan isu tersebut," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Menurutnya, walaupun RUU itu telah dirujuk kepada PSSC baharu pada 2 Ogos 2022, jawatankuasa itu belum mengadakan sebarang perundingan dengan pihak berkepentingan.

 

“CMTM percaya bahawa ahli baharu PSSC perlu diberi peluang berunding secara bersemuka dengan pihak berkepentingan yang berkaitan untuk mendapatkan perspektif baharu dan menyumbang kepada proses penggubalan undang-undang yang holistik.

 

"CMTM menggesa kerajaan untuk memastikan perundingan yang diperlukan diadakan PSSC baharu dan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen lain, seperti Jawatankuasa Pilihan Khas mengenai Kebebasan Asas dan Hak Perlembagaan dan Jawatankuasa Pilihan Khas mengenai Perdagangan Dalam Negeri," katanya.

 

Katanya, kerajaan perlu berhati-hati dalam meluluskan RUU yang boleh menyebabkan impak ke atas sosioekonomi yang tidak diingini, terutamanya dengan pasaran gelap yang semakin meningkat di Malaysia.

 

"Isu-isu asas dalam RUU itu tidak boleh diketepikan dan memihak kepada pihak yang tergesa-gesa mahu meluluskannya dalam sidang Parlimen akan datang. 

 

"Konsensus pihak berkepentingan adalah penting untuk memastikan RUU itu berperlembagaan, boleh dilaksanakan, boleh dikuatkuasakan dan akan mencapai hasil kesihatan yang diharapkan tanpa akibat yang tidak diingini," katanya. - DagangNews.com