Clorox umum Linda Rendle sebagai CEO, sekaligus wanita ke-38 terajui syarikat Fortune 500 | DagangNews Skip to main content

Clorox umum Linda Rendle sebagai CEO, sekaligus wanita ke-38 terajui syarikat Fortune 500

Diterjemahkan oleh JOHARDY IBRAHIM
 

OAKLAND 6 Ogos – Syarikat peluntur kotoran global, Clorox mengumumkan presiden syarikat, Linda Rendle akan mengambil alih jawatan Ketua Pegawai Eksekutif, berkuat kuasa 14 September ini, menggantikan Benno Dorer, sekali gus menjadikan bilangan wanita yang menerajui syarikat Fortune 500 menjadi 38 orang, bilangan tertinggi setakat ini.


Menurut laporan terkini Fortune, Rendle dalam jawatan presiden sekarang, menguruskan segala perancangan pembangunan perniagaan dan korporat Clorox, selain lima fungsi globalnya merangkumi pemasaran, penjualan, bekalan produk, teknologi maklumat dan, penyelidikan dan pembangunan.


Sebelum menjadi presiden pada Mei lalu, Rendle memegang beberapa jawatan kanan di dalam Colox iaitu Naib Presiden Jualan dam Naib Presiden Eksekutif pelbagai divisyen di dalam syarikat.


Rendle yang berusia 42 tahun berkhidmat di Procter & Gamble di mana beliau memegang jawatan pengurusan penjualan di pasaran Boston dan Charlotte, sebelum menyertai Clorox pada 2003.


Rendle, yang merupakan lulusan Harvard University dalam bidang ekonomi, akan mengambil alih teraju Clorox di kala permintaan bagi produk penyahkuman syarikat mencatat peningkatan berikutan pandemic COVID-19 dan menyaksikan pulangan dividen kepada pemegang saham berjumlah berganda.


Dalam tempoh 17 tahun bersama Clorox, Rendle telah menerima pujian besar atas etika kerja dan kepimpinan bukan sahaja sebagai presiden tetapi juga ketua yang membantu memimpin strategi IGNITE syarikat, iaitu satu inisiatif yang menumpu untuk meletakkan keutamaan alam sekitar, sosial dan tadbir urus di barisan depan semasa syarikat hendak membuat sesuatu keputusan.
 

kloro
Jenama Clorox juga sangat terkenal di Malaysia, malah `Clorox' menjadi istilah gantian kepada bahan pencuci kotoran. 

 

"Saya gembira bahawa dedikasi kita terhadap perancangan peralihan yang difikirkan masak-masak, berjangka panjang membolehkan kita melantik ketua yang kuat dan berkemampuan seperti Linda Rendle untuk memainkan peranan CEO,’’ kata Pamela Thomas-Graham, ketua pengarah bebas Lembaga Pengarah Clorox di dalam kenyataan media.


“Linda akan menjadi CEO yang cemerlang, berdasarkan rekod-rekod hasil perniagaan yang luar biasa, penelitian mendalam beliau terhadap pembangunan strategi IGNITE syarikat dan cara kepimpinan berasaskan nilai-nilai,’’ katanya.


Rendle, yang juga akan dipilih menduduki Lembaga Pengarah, menyertai kumpulan wanita elit yang menguruskan syarikat-syarikat korporat besar Amerika Syarikat.


Menurut Fortune, meskipun kemasukan beliau ke dalam senarai Fortune 500 menambah bilangan wanita CEO ke tahap paling tinggi setakat ini, pelantikan Rendle juga menunjukkan bagaimana masih jauh kesaksamaan jantina boleh dicapai.


Sehingga kini, wanita hanya mewakili kurang daripada 8% peneraju di dalam senarai Fortune 500 dan tiada wanita berkenaan dari kalangan berkulit hitam atau Latin. Bila ditinjau pada keseluruhan peneraju syarikat, wanita hanya mewakili satu per lima walaupun mereka membentuk hampir separuh daripada tenaga kerja. – DagangNews.com