KUALA LUMPUR 4 Sept - CIMB Group Holdings Berhad akan menganjurkan sidang kemuncak tahunan 'Kelestarian Bumi Lebih Sejuk' dari 11 hingga 21 September 2023, bertemakan 'Kelestarian dalam Tindakan: Peluang untuk Masa Depan yang Lebih Baik'.
Bagi membolehkan pembinaan kapasiti yang lebih menyeluruh, termasuk di luar rantau ASEAN, sidang kemuncak tersebut akan disiarkan secara hibrid untuk diakses secara percuma kepada semua lapisan masyarakat.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan CIMB Group, Datuk Abdul Rahman Ahmad berkata, sidang kemuncak tahun ini akan menekankan bagaimana perniagaan dalam pelbagai skala boleh memanfaatkan peluang dalam landskap ekonomi yang berkembang pesat, sebagai sebahagian daripada peralihan yang semakin pantas ke arah ekonomi yang mampan.
"Penciptaan ekonomi yang lebih berdaya tahan, rendah karbon dan inklusif akan memerlukan tindakan kolaboratif dan penyelesaian inovatif daripada semua pihak dan kami berharap dapat memberi cerapan bagaimana para peniaga boleh sentiasa berada di hadapan dalam peralihan pantas dan yang tidak dapat dielakkan ini.
"Sebagai organisasi yang didorong oleh tujuan yang beraspirasi untuk menjadi peneraju kelestarian ASEAN, kami komited untuk memainkan peranan kami untuk mempercepatkan pertumbuhan dan amalan kelestarian dalam kalangan peniaga dan komuniti," katanya dalam kenyataan media di sini.
Sidang kemuncak tahun ini bermatlamat untuk menghubungkan perniagaan dengan sektor-sektor awam dan swasta serta masyarakat sivil, untuk mendapat pandangan daripada pakar global dan serantau, dan memahami lebih lanjut pelbagai peluang yang muncul daripada peralihan ke arah ekonomi yang lebih hijau dan masyarakat yang lebih saksama.
Pelbagai inisiatif dirancang melibatkan perniagaan dalam memahami pelbagai cara untuk memacu dan mendapat manfaat daripada amalan perniagaan yang lestari.

Antaranya, termasuk siri pembentangan utama, perbincangan panel pakar, kelas pakar serta acara rangkaian dengan akses eksklusif secara bersemuka dengan pelanggan di seluruh rantau ASEAN.
Para peserta akan memperoleh perspektif baharu dan pandangan yang bermakna tentang cara untuk mencipta nilai bersama dengan integrasi pertimbangan alam sekitar dan sosial ke dalam strategi perniagaan mereka.
Selain itu, sesi tersebut juga akan menawarkan panduan praktikal kepada perniagaan dan bagaimana mereka boleh mengemudi pelbagai perniagaan, kawal selia dan perkembangan dalam perdagangan, seperti pelarasan sempadan karbon dan mengamalkan rantaian bekalan yang mampan.
Sidang kemuncak tersebut akan menampilkan perutusan oleh Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, diikuti ucapan pengarang pemenang Hadiah Pulitzer Jared Diamond, Profesor Geografi serta Sains Kesihatan Alam Sekitar di UCLA dan seterusnya, seruan untuk bertindak oleh Sir Robert Swan, salah seorang penjelajah yang terkemuka di dunia.

Salah satu segmen unik yang dirancang ialah sesi panel antara Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC).
Panel ini yang bertajuk “Meluaskan Pandangan: Perspektif Peribadi daripada Pemimpin-Pemimpin GLIC” akan disertai oleh Pengarah Urusan Khazanah Nasional Bhd, Datuk Amirul Feisal Wan Zahir; Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan Permodalan Nasional Bhd, Ahmad Zulqarnain Onn dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.
Dalam sesi ini, para pemimpin yang disanjungi akan berbincang dan berkongsi pandangan tentang aspirasi portfolio ESG masing-masing, peralihan ke arah ekonomi rendah karbon, dan refleksi peribadi berkenaan nilai-nilai serta pertimbangan yang mendorong komitmen mereka dalam kepimpinan kelestarian.
Program ini juga akan dilengkapi dengan pembelajaran bertema yang berasaskan pengalaman di Malaysia, Indonesia, Singapura dan Kemboja bersama rakan kongsi CIMB dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
Acara yang dirancang di Malaysia akan dianjurkan di pelbagai lokasi yang telah mendapat manfaat daripada projek pemuliharaan strategik CIMB melalui sumbangan Akaun Simpanan EcoSave-i (EcoSave).
Pengalaman praktikal ini akan membolehkan para peserta meneroka topik-topik seperti pelbagai jenis landskap semula jadi, teknologi pertanian terkini dan tenaga boleh diperbaharui.
CIMB kekal komited untuk memajukan agenda ESGnya, setelah menggandakan sasaran kewangan lestarinya kepada RM60 bilion menjelang 2024 di bawah rangka kerja Produk dan Perkhidmatan Berimpak Hijau, Sosial serta kelestarian (GSSIPS).
CIMB juga komited untuk mencapai pelepasan gas rumah hijau (GHG) sifar bersih, termasuk pelepasan yang dibiayai, menjelang 2050.
Sidang kemuncak itu terbuka kepada semua dan penyertaan adalah percuma. Untuk butiran lanjut dan mendaftar, sila layari https://coolerearth.cimb.com. - DagangNews.com








