AS, China dan Asia Tenggara harus pastikan semangat hubungan dua hala diperkukuh - PM | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

AS, China dan Asia Tenggara harus pastikan semangat hubungan dua hala diperkukuh - PM

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 5 Julai - Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Amerika Syarikat (AS), China dan Asia Tenggara harus memastikan semangat yang mengikat hubungan dua hala dan pelbagai hala dipelihara dan diperkukuhkan, berdasarkan kepada pematuhan undang-undang antarabangsa yang telah lama wujud.

 

Ismail Sabri berkata, melihat kepada ekonomi dan kedudukan strategik China, ASEAN berharap dapat mengekalkan hubungan yang positif dan stabil dengan Beijing. 

 

Beliau berkata, kepentingan China di rantau ini tidak boleh dinafikan dan sejak 2009 negara itu kekal menjadi rakan dagang utama ASEAN. Pada 2020, ASEAN mengatasi Kesatuan Eropah sebagai rakan dagang utama China.

 

Dalam masa sama katanya, ASEAN juga harus terus memperkemaskan hubungan ekonomi dan diplomatik dengan AS berdasarkan rasa saling hormat-menghormati dan semangat setiakawan yang tinggi.

 

"Walaupun berdepan dengan cabaran yang hebat, negara mesti terus cekal dan tabah serta sama-sama mencari jalan penyelesaian untuk menikmati masa depan yang lebih makmur, lestari dan saksama. Saya yakin platform seperti Persidangan Meja Bulat Asia-Pasifik (APR) ini tentu akan terus memainkan peranan penting dalam proses ini," katanya ketika menyampaikan ucaptama pada Persidangan APR ke-35, hari ini.

 

Menurut Perdana Menteri, ASEAN sentiasa berpegang teguh dengan prinsip asasnya yang mengutamakan kepaksian ASEAN (ASEAN Centrality) dalam menghadapi cabaran lalu dan juga yang mendatang. 

 

Ismail Sabri berkata, prinsip-prinsip asasnya seperti saling bekerjasama dan menghormati kedaulatan negara serta semangat membimbing negara-negara anggota ke arah keamanan dan kemakmuran serantau menjadi resipi kejayaan di rantau ini.

 

 

pm
Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob

 

 

"Sehubungan itu, ASEAN muncul sebagai gagasan yang dihormati dan dipercayai bagi mekanisme pelbagai hala serantau. Namun begitu, kepaksian rantau ini akan terus diuji dengan tekanan dalaman dan luaran.

 

"Untuk itu, ASEAN juga memerlukan kombinasi mekanisme-mekanisme berbentuk dua hala, pelbagai hala dan bahkan minilateral, dan juga kreativiti serta sokongan badan-badan bukan kerajaan untuk berjaya. Ketika persaingan antara kuasa-kuasa besar dunia menghasilkan cabaran yang tersendiri kepada rantau ini, ia tidak seharusnya memudaratkan. 

 

"Malah libat urus secara proaktif dengan kuasa-kuasa besar akan memberikan manfaat kepada rantau ini, dengan syarat kita mampu melakukannya. Dalam situasi sebegini, rantau ASEAN seharusnya bersedia menghadapi persaingan kuasa-kuasa besar dengan bijak," katanya.

 

Katanya, keutuhan ASEAN akan memberikan kesan positif kepada negara dan disebabkan itu ia perlu terus kukuh dan produktif serta kekal menjadi paksi kepada libat urus serantau ke arah membentuk norma-norma baharu di rantau ini. - DagangNews.com