KUALA LUMPUR 17 Feb - Supermax Corp Bhd. dijangka terus berada dalam kerugian bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2023 (FY23) hingga FY24 setelah syarikat pengeluar sarung tangan itu rugi buat kali pertama pada suku kedua.
Bagi suku berakhir 31 Disember 2022 itu, Supermax mencatat kerugian bersih sebanyak RM108.07 juta berbanding keuntungan RM47.84 juta pada suku sama sebelum ini manakala pendapatan merosot 66.6% kepada RM174.79 juta daripada RM523.54 juta sebelum ini.
Kemerosotan itu berpunca daripada penurunan berterusan harga jualan purata (ASP) dan peningkatan kos pengeluaran seunit menyebabkan kumpulan itu mencatat kerugian kewangan untuk kali pertama.
CGS-CIMB Research menjangkakan Supermax akan merekodkan kerugian bersih teras sebanyak RM215 juta bagi FY23 dan berkurangan kepada RM4 juta pada FY24.
Menurutnya, kumpulan akan terus merekodkan prestasi lemah pada separuh kedua FY23 ekoran kerugian berterusan dan kelemahan volum jualan serta ASP.
"Ini disebabkan persaingan harga yang sengit dalam industri sarung tangan getah global, pesanan pembelian yang perlahan dan peningkatan kapasiti yang ketara hingga berlaku ketidakseimbangan dalam dinamik bekalan-permintaan.
"Bagaimanapun, kami menjangkakan volum jualan dan ASP akan bertambah baik mulai suku keempat FY23 apabila isu lebihan bekalan mereda," katanya dalam nota kajian hari ini.
Baca : Supermax catat kerugian RM108 juta bagi suku tahunan 2QFY2023
Mengambil kira faktor tersebut, firma itu mengurangkan unjuran pendapatan sesaham bagi FY23 hingga FY24.
"Kami menjangkakan Supermax hanya akan kembali mencatat keuntungan pada FY25," tambahnya.
Secara keseluruhan, ia mengekalkan saranan 'kurang' terhadap Supermax dengan harga sasaran tidak berubah pada 70 sen.
"Walaupun ia mempunyai kedudukan tunai bersih yang teguh (RM2.5 bilion atau 94 sen sesaham pada akhir suku kedua FY23), ini masih belum mengambil kira pelan perbelanjaan modal (capex) seterusnya untuk membina kilang sarung tangan di Amerika Syarikat (AS) pada harga AS$550 juta.
"Ini memandangkan kumpulan tidak bercadang untuk menghentikan cadangan ini di sebalik persekitaran operasi yang lemah bagi sektor sarung tangan," jelasnya.
Setakat 10.01 pagi, harga saham Supermax susut 4 sen atau 4.97% kepada 76.5 sen dengan 7.27 juta saham diniagakan. - DagangNews.com








