CGS-CIMB semak turun penarafan Bursa Malaysia kepada 'kurang', untung bersih Q1 dijangka merosot 46.9% | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

CGS-CIMB semak turun penarafan Bursa Malaysia kepada 'kurang', untung bersih Q1 dijangka merosot 46.9%

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 8 April - CGS-CIMB Research menyemak turun penarafan saham Bursa Malaysia Bhd. kepada 'kurang' daripada 'pegang' sebelum ini dengan harga sasaran dikekalkan pada RM6.59 sesaham.

 

Firma itu turut menjangkakan pendapatan sesaham bagi (EPS) bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022 (FY22) susut 39.4%.

 

Dalam nota kajian hari ini, penganalisisnya, Winson Ng berkata, prestasi suku pertama Bursa Malaysia diunjur berada di bawah ramalan konsensus Bloomberg tetapi memenuhi jangkaan firma.

 

"Kami menjangkakan untung bersih Bursa Malaysia akan merekodkan penurunan 46.9% tahun ke tahun pada suku pertama, ekoran nilai purata dagangan harian (ADTV) dalam pasaran ekuiti tempatan merosot sehingga 48.5% bagi tempoh itu. 

 

"Malah, kontrak purata harian (ADC) dalam pasaran derivatif juga susut 8% tahun ke tahun pada suku pertama. 

 

"Secara dasarnya, lebih daripada 60% hingga 70% hasil Bursa Malaysia dijana menerusi dagangan dalam kedua-dua pasaran ini," katanya. 

 

Bursa Malaysia dijangka mengumumkan prestasi kewangan bagi suku pertamanya, pada 28 April ini.

 

Menurut beliau, harga saham Bursa Malaysia telah menokok 15.2% sejak 14 Mac 2022 sebahagiannya disebabkan jangkaan pasaran terhadap kemungkinan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) akan meningkatkan aktiviti dagangan dalam pasaran ekuiti.

 

Bagaimanapun, katanya, berdasarkan 3 PRU sebelum ini (2008, 2013 dan 2018), hakikatnya, ekuiti ADTV menurun secara purata 0.2% selama 6 bulan sebelum tarikh pilihan raya manakala 3.5% selepas pilihan raya diadakan.

 

"Sekiranya terdapat impak positif daripada PRU-15 dalam ADTV ekuiti tahun ini, ia kemungkinan diimbangi dengan kos dagangan yang lebih tinggi daripada semakan semula struktur duti setem.

 

"Ia turut didorong kelonggaran sekatan pergerakan dan kebimbangan mengenai ketegangan geopolitik dalam masa terdekat akan meningkatkan harga tenaga dan bahan mentah," katanya.

 

Setakat 9.25 pagi ini, harga saham Bursa Malaysia susut 5 sen atau 0.7% kepada RM7.07 dengan 10,800 saham diniagakan. - DagangNews.com