CGS-CIMB persoal tindakan MISC jual kapal Puteri Intan Satu | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

CGS-CIMB persoal tindakan MISC jual kapal Puteri Intan Satu

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 16 Feb - Keputusan MISC untuk menjual salah sebuah kapal gas asli cecair (LNG) miliknya adalah tindakan yang membingungkan, kata CGS-CIMB Research dalam notanya hari ini.

 

Menurut firma penyelidikan itu, keputusan menjual kapal Puteri Intan Satu kurang optimum kerana kadar spot pada purata adalah AS$170,000 sehari pada suku keempat 2022 dan dan pada tahun ini purata adalah AS$50,000 sehari setakat ini.

 

Kapal berusia 20 tahun itu mempunyai kadar sewa semasa untuk setahun pada AS$70,000 sehari, di mana MISC mampu memperoleh hasil jualan AS$35 juta dalam masa 500 hari sahaja, tambahnya.

 

“Kami berpendapat Capital Gas sedang menuai hasil daripada pasaran yang kukuh, satu kerugian kepada MISC,” kata firma itu yang tidak memahami keputusan MISC menjual kapal LNG tersebut untuk harga AS$35 juta kepada pemilik kapal Greek, Capital Gas pada Januari 2023.

 

Tambah CGS-CIMB, risiko positif adalah kadar tambang kapal tangki yang lebih kukuh daripada jangkaan manakala terdapat risiko negatif melibatkan kegagalan penghantaran kapal penyimpanan dan pemunggahan pengeluaran terapung (FPSO) Mero-3 kepada Petrobras menjelang Mei 2024.

 

“MISC menangguhkan penghantaran Mero-3 kepada Petrobras selama enam bulan iaitu Mei 2024 dan di dalam rundingan dengan Petrobas untuk pelbagai tuntutan peningkatan kos dan untuk mengetepikan hak Petrobras untuk mengenakan ganti rugi yang tertentu dipastikan (LAD) untuk penghantaran lewat,” kata firma itu.

 

Walau bagaimanapun, kata CGS-CIMB, penalti LAD tersebut tetap dibimbangi kerana kemungkinan ia dikenakan dalam jumlah yang besar.

 

Firma itu juga tidak memahami rasional pengambilalihan kerja FPSO dari kawasan CIMC Raffles di China yang mungkin mahal dan memakan masa.

 

MISC masih di dalam rundingan berkenaan pengambilalihan kerja tersebut, di mana menurut kontrak asal CIMC Raffles perlu melaksanakan semua kerja.

 

Kebimbangan MISC terhadap penutupan China secara tiba-tiba dilihat tidak rasional memandangkan negara itu telah membuka sempadan sepenuhnya dan menarik balik kawalan pergerakan domestik.

Oleh itu, CSG-CIMB mengekalkan saranan ‘pegang’ dengan menurunkan harga sasaran (TP) berdasarkan SOP pada RM7.23 sesaham manakala kadar kapal tangki mungkin kekal kukuh dan peningkatan kos Mero-4 kekal berisiko. -DagangNews.com