KUALA LUMPUR 3 Jun - CGS-CIMB Research menaikkan unjuran akhir tahun FBM KLCI kepada 1,647 mata daripada 1,622 mata sebelum ini dengan menjangkakan hasil korporat yang lebih baik pada suku kedua 2022.
Firma itu berkata, ia dijangka mendapat manfaat daripada harga komoditi yang tinggi ekoran krisis Rusia-Ukraine yang masih berterusan dan perbelanjaan pengguna yang lebih tinggi ekoran permintaan terpendam dan sambutan Hari Raya.
Bagaimanapun, tambahnya, prospek positif ini sebahagiannya diimbangi dengan kos bahan mentah, kewangan dan buruh yang lebih tinggi.
"Berikutan semakan pendapatan terkini kami yang mencerminkan andaian harga minyak sawit mentah yang lebih tinggi dan kenaikan kadar dasar semalaman (OPR), kami kini menganggarkan keuntungan bersih teras KLCI berkembang sebanyak 1%/11% pada 2022/2023 (berbanding ramalan sebelumnya -2.4% /+9.2%).
"Tidak termasuk konstituen bank dalam KLCI, kami mengunjurkan pertumbuhan pendapatan sesaham KLCI bagi 2022/23 pada -2.4%/+2.4%," katanya dalam nota kajian hari ini.
Bagaimanapun, firma itu menjangkakan KLCI akan terus didagangkan dalam julat seperti diunjurkan kerana pasaran menimbang faktor positif daripada ekonomi yang semakin pulih berbanding potensi pengurangan margin akibat ketidakupayaan untuk menyalurkan kos yang semakin meningkat kepada pengguna.
"Semakan menaik bagi sasaran KLCI kami untuk 2022 adalah bagi mencerminkan hasil korporat yang positif, lebih daripada mengimbangi sasaran harga kepada pendapatan (P/E) yang lebih rendah," tambah.
Dalam laporan kewangan berakhir 31 Mac 2022, CGS-CIMB mendapati nisbah syarikat di bawah liputannya yang mrekodkan prestasi positif menurun kepada 26% berbanding 40% pada suku keempat 2021.
Nisbah syarikat yang berprestasi rendah pula meningkat kepada 28% berbanding 23% pada suku sebelumnya.
"Kami dapati sektor agroperniagaan dan kimia mencatatkan hasil positif yang mengejutkan, tetapi sektor tenaga dan perkapalan memberikan hasil yang lebih lemah daripada jangkaan.
"Untung bersih teras pada suku pertama 2022 susut 21% suku ke suku dan 32% tahun ke tahun berikutan prestasi lemah syarikat pengeluar sarung tangan getah dan Sapur Energy Bhd.
"Jika tidak mengambil kira hasil yang direkodkan mereka (pengeluar sarung tangan getah dan Sapura Energy), hasil pada suku berkenaan akan berkembang 4.3% tahun ke tahun tetapi menurun 12% suku ke suku," jelasnya.
Secara keseluruhan, firma itu menamakan Genting Malaysia Bhd. RHB Bank Bhd. dan MR DIY Group (M) Bhd. sebagai pilihan utamanya bagi tahun ini.
"Kami menambah MR DIY kerana ia berkemungkinan mendapat manfaat daripada aliran dagangan yang menurun akibat tekanan inflasi yang meningkat.
"Genting Malaysia pula ialah pilihan kami untuk tema pembukaan semula sempadan antarabangsa. RHB Bank adalah pilihan kami sebagai penerima manfaat pemulihan dan kenaikan kadar kerana ia menawarkan peningkatan yang lebih tinggi berbanding Hong Leong Bank Bhd.," katanya. - DagangNews.com








