KUALA LUMPUR 8 April - CGS-CIMB Research memulakan liputan terhadap Senheng New Retail Bhd. dengan saranan 'tambah' pada harga sasaran RM1 sesaham.
Senheng merupakan peruncit elektrik dan elektronik (E&E) pengguna terbesar di Malaysia mengikut hasil dengan 105 cawangan di seluruh negara setakat akhir 2021.
Selain daripada cawangan kedai (merangkumi 89.2% daripada hasil pada tahun kewangan 2021-FY21), produknya juga dijual secara dalam talian termasuk aplikasi yang dikendalikan sendiri serta menerusi Shopee dan Lazada.
Menurut firma itu, di sebalik persekitaran operasi yang mencabar dalam ruang E&E pengguna, kelebihan utamanya terletak pada 'model runcit yang lancar' dengan penyepaduan penuh oeprasi kedai fizikal, dalam talian dan juga rangkaian logistik dalaman.
Sejak 2014, katanya, Senheng menggunakan perniagaan pintar untuk memacu pembuatan keputusan perniagaan, di samping menyediakan harga seragam merentas semua saluran jualan.
Jualannya disokong oleh program kesetiaan PlusOne yang kukuh, kira-kira 90% daripada hasil FY21.
"Oleh itu, kami menjangkakan Senheng akan merekodkan Purata Kadar Pertumbuhan Tahunan (CAGR) bagi hasil sebanyak 12.7% manakala 13.4% bagi untung bersih teras bagi FY21-FY24.
"Ini disokong dengan CAGR bagi hasil jualan kedai sebanyak 18.1% manakala 10.1% secara dalam talian," katanya dalam nota kajian hari ini.
Anggaran itu berdasarkan strategi jangka masa terdekat dan sederhana kumpulan termasuk menaiktaraf dan memperluaskan lagi cawangan kedai, mengembangkan portfolio produk jenamanya sendiri dan keahlian Plus One.
CGS-CIMB berkata, Senheng telah membina kedudukan dan skala operasi yang kukuh, memanfaatkan skala ekonominya dan menjalin hubungan dengan jenama utama untuk menawarkan rangkaian produk E&E pengguna secara meluas merentasi semua segmen.
Setakat Mei 2021, ia membawa kira-kira 10,000 unit penyimpanan stok (SKU) daripada lebih 280 jenama.
"Pada pandangan kami, ini adalah faktor perbezaan, kerana ia mampu memenuhi keperluan E&E pengguna melalui penawaran produk yang luas berbanding pesaing lain," katanya. - DagangNews.com








