CGS-CIMB jangka Thong Guan satu-satunya syarikat dalam sektor pembungkusan raih manfaat dengan pembukaan semula ekonomi China | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

CGS-CIMB jangka Thong Guan satu-satunya syarikat dalam sektor pembungkusan raih manfaat dengan pembukaan semula ekonomi China

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 6 Jan - CGS-CIMB Research mengekalkan pandangan 'overweight' terhadap sektor pembungkusan dengan Thong Guan Industries Bhd. dilihat satu-satunya syarikat yang menerima manfaat secara langsung daripada penarikan semula sekatan COVID-19 di China berdasarkan kepada pendedahan eksportnya yang besar ke negara tersebut.

 

Penganalisisnya, Kamarul Anwar berkata, Thong Guan juga berupaya meningkatkan eksportnya walaupun ekonomi China ditutup hampir tiga tahun dengan jualan bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2021 (FY21) meningkat 41.3% kepada RM112.2 juta.

 

Katanya, bahagian eksport ke China dalam perolehan tahunan Thong Guan meningkat sebanyak 90 mata asas tahun ke tahun kepada 9.2% pada FY21.

 

"Malah, kumpulan ini menyatakan pemacu eksportnya ke China adalah filem regangan premiumnya, yang terkenal dengan kualitinya dan semakin popular di Eropah dan Amerika Syarikat (AS)," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

Selain Thong Guan, syarikat pembuat filem regangan di bawah liputan CGS-CIMB, BP Plastics Holding Bhd. tidak melihat eksportnya ke China begitu ketara.

 

Ini kerana kumpulan memberi tumpuan kepada pasaran Asia Tenggara dan Jepun dengan sedikit pendedahan ke Taiwan dan Hong Kong. 

 

"Oleh itu, kami tidak menolak kemungkinan jualan BP Plastics mengalami sedikit peningkatan dalam tempoh jangka panjang.

 

"Jika pelanggan akhirnya mempunyai perniagaan di China dan memerlukan pembungkusan eksport, maka terdapat peluang mereka membuat pembungkusan dengan filem regangan bagi mendapatkan perlindungan kepada barangan itu dihantar," jelasnya.

 

Namun, Kamarul Anwar mendapati walaupun BP Plastics sudah didagangkan pada purata P/E 5 tahun sebanyak 11x, tetapi Thong Guan dinilai rendah berbanding P/E purata 5 tahun sejarahnya.

 

"Satu-satunya penyebab kepada prestasi Thong Guan dinilai rendah adalah kemungkinan pelabur mengambil kira pendekatannya terhadap kebimbangan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG)," katanya. 

 

Secara keseluruhan, firma itu mengekalkan saranan 'tambah' terhadap Thong Guan manakala 'pegang' bagi BP Plastics dengan harga sasaran masing-masing pada RM2.35 dan RM1.27 sesaham. - DagangNews.com