Censof raih kontrak SME Corp. bernilai RM7.3 juta | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Censof raih kontrak SME Corp. bernilai RM7.3 juta

KUALA LUMPUR 10 Feb - Censof Holdings Bhd. memperoleh kontrak bagi pembangunan sistem aplikasi penarafan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan platform akreditasi fasa pertama untuk SME Corp. bernilai RM7.3 juta. 

 

Kontrak itu diperoleh menerusi anak syarikat milik penuhnya, Century Software (Malaysia) Sdn. Bhd. yang menerima surat anugerah (LOA) daripada SME Corp. bertarikh 28 Januari 2022.

 

Tempoh projek ini adalah selama 45 bulan bermula 15 Februari 2022 hingga 14 November 2025, menurutnya dalam makluman di Bursa Malaysia hari ini.

 

Secara dasarnya, kontrak tersebut membabitkan projek pengurusan perkhidmatan, latihan, pengurusan, pembangunan sistem aplikasi dengan memanfaatkan blockchain dan eKYC, pembangunan aplikasi mudah alih dan perkhidmatan awan.

 

Sistem aplikasi ini akan disepadukan dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia, sistem dalaman SME Corp, iaitu Sistem Pelan Tindakan Bersepadu PKS (SMEIPA), Sistem Insentif Pusat PKS (SCenic) dan Sistem MyAssist, serta penyedia pembayaran di Malaysia.

 

Projek tersebut bertujuan memperkemas sistem penyampaian dan meningkatkan kecekapan dan produktiviti SME Corp.

 

Pengarah Urusan Kumpulan Censof, Ameer Shaik Mydin berkata, perolehan kontrak itu menandakan kedudukan dan peranan Censof sebagai penyedia sistem penarafan dan akreditasi kepada SME Corp, menyediakan keseluruhan proses secara digital yang akan memberi manfaat kepada industri PKS Malaysia selaras dengan Rancangan Malaysia Ke-12 yang ditetapkan kerajaan.

 

"Kami menjangkakan kontrak ini akan mempertingkat dan menambah baik ruang PKS yang membabitkan Censof dengan menyediakan penarafan dan skor PKS digital yang cekap dan tepat pada masanya untuk menentukan daya saing dan keupayaan PKS," jelasnya. - DagangNews.com