KUALA LUMPUR 23 Feb - Sebagai sebahagian daripada usaha berterusannya untuk transparensi dalam amalan privasinya, CelcomDigi memudahkan notis privasinya kepada infografik yang mudah difahami di laman webnya.
Infografik tersebut bertujuan mendidik pelanggannya tentang jenis maklumat peribadi yang dikumpul, sebab dikumpul, cara proses dan dengan siapa ia akan dikongsi.
Ia juga membantu pelanggan memahami hak privasi mereka, cara melaksanakan hak dan langkah yang perlu diambil jika data mereka terjejas.
Ketua Privasi CelcomDigi, Kulani Geeta Kulasingam berkata, inisiatif itu sebahagian daripada semakan biasa yang dilakukan syarikat terhadap amalan privasinya untuk terus membina amalan data jangka panjang yang bertanggungjawab dan mengekalkan kepercayaan pelanggan.
“Komited terhadap piawaian privasi data tertinggi, adalah menjadi tanggungjawab untuk memastikan pelanggan memahami cara kami mengurus dan melindungi data peribadi mereka apabila melanggan perkhidmatan kami.
"Infografik tepat dan ringkas memberikan pelanggan pemahaman holistik tentang amalan data kami, mengelakkan kenyataan panjang, meningkatkan transparensi dan pengalaman pelanggan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.


Untuk mengetahui lebih lanjut tentang amalan terbaik perlindungan data, lawati laman web www.celcomdigi.com. - DagangNews.com








