KUALA LUMPUR 30 Jan - Pusat Pilihan Pengguna (CCC) mencadangkan kerajaan supaya menyegerakan undang-undang mengawal selia pemasaran produk vape bagi mengekang penjualan produk tersebut kepada kanak-kanak berusia bawah 18 tahun.
Wakil CCC Malaysia, Tarmizi Anuwar berkata, beliau senada dengan Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa mengenai kebimbangan penjualan produk vape kepada kanak-kanak bawah umur.
"Bagi mengelakkan risiko berlakunya perkara ini, pihak kerajaan perlu mewujudkan undang-undang berasingan daripada rokok atau memperluaskan skop undang-undang tembakau sedia ada bagi mengawal selia penjualan dan pemasaran vape," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Tarmizi, terdapat beberapa langkah boleh diambil pihak kerajaan antaranya menguatkuasakan sekatan umur yang ketat ke atas peranti vape serta cecair di tempat jualan dan menggunakan teknologi pengesahan umur moden untuk jualan dalam talian.
“Ketiadaan undang-undang akan memudahkan kanak-kanak untuk mendapatkan vape daripada aktiviti pasaran gelap dan perdagangan haram," katanya.
Mengulas kenyataan Dr Zaliha mengenai klasifikasi nikotin di bawah Akta Racun 1952, beliau berkata, produk gantian nikotin telahpun dikecualikan daripada Akta Racun 1952 pada Oktober tahun lalu.
Katanya, ini bermakna nikotin tidak lagi dianggap sebagai produk bukan beracun.

“Secara teknikal vape boleh dikira sebagai produk gantian nikotin kerana tujuan utama adalah digunakan sebagai bantuan untuk berhenti merokok," katanya.
Namun katanya, ini antara ruang dasar awam yang masih perlu ditambahbaik agar tidak berlaku kekeliruan.
Selain itu, Tarmizi menekankan undang-undang itu penting dalam membezakan produk vape antara pengguna dewasa yang bertanggungjawab dengan kanak-kanak.
Katanya, ia bagi memastikan pengguna dewasa mempunyai pilihan yang sah untuk memilih produk kurang berisiko dan mudarat serta beralih ke arah hidup lebih sihat.
Tambahnya, kerajaan tidak wajar menggunakan hujah ini untuk menghadkan akses kepada pengguna bertanggungjawab kerana sehingga masih belum terbukti mengenai laporan atau artikel berkenaan vape adalah gerbang kepada merokok. - DagangNews.com








