Carousell, Yellow House KL lancar kempen #SamaSamaSapot bantu golongan rentan cari pekerjaan | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Carousell, Yellow House KL lancar kempen #SamaSamaSapot bantu golongan rentan cari pekerjaan

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 26 April - Jika anda adalah salah seorang rakyat Malaysia yang mengambil berat tentang golongan kurang berkemampuan yang terjejas akibat pandemik COVID-19, marilah #SamaSamaSapot dengan menderma pakaian atau barangan kerja yang terpakai bagi membantu mereka dalam usaha mencari peluang pekerjaan.

 

Carousell Malaysia berganding bahu dengan organisasi masyarakat tempatan, Yellow House KL melancarkan kempen #SamaSamaSapot, suatu usaha untuk merapatkan jurang antara mereka yang kurang mampu dengan golongan yang boleh menawarkan bantuan.

 

Pengurus Negara (Malaysia) Carousell, Tang Siew Wai berkata, Carousell teruja dapat bergandingan dengan Yellow House KL menerusi kempen #SamaSamaSapot untuk membolehkan para pengguna Carousell memberi bantuan dari segi barangan terpakai yang masih dalam keadaan baik kepada golongan rentan yang mencari peluang pekerjaan baharu. 

 

"Ramai rakyat Malaysia masih bergelut untuk pulih daripada kesan pandemik ke atas mata pencarian mereka. Ini adalah masa yang sesuai untuk mereka yang terlibat melengkapkan diri sebagai persediaan bagi peluang pekerjaan yang akan datang sementara negara kita beralih ke fasa endemik,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Yellow House KL telah mengenalpasti senarai penuh barangan kerja yang berguna untuk komuniti yang memerlukan. Ia terbahagi kepada tiga kategori utama yang terdiri daripada:

 

1)    barangan gajet seperti telefon bimbit, komputer riba, tablet, pengecas, wayar USB dan mesin pencetak

 

2)    pakaian kerja untuk lelaki seperti baju lengan panjang, tali pinggang, seluar panjang, kasut pejabat dan beg 

 

3)    pakaian kerja untuk perempuan seperti baju kurung, kasut bertutup, seluar panjang, beg dan pakaian lain yang sesuai untuk bekerja.

 

Bermula dari sekarang hingga 20 Mei 2022, penyumbang yang berminat boleh senaraikan barangan dalam kategori-kategori tersebut di platform Carousell disertakan tanda pagar #SamaSamaSapot sebagai tajuk senarai. 

 

Pihak Yellow House KL akan menghubungi penderma barangan yang terpilih untuk membuat temujanji bagi proses penghantaran. 

 

Penderma juga boleh memberi bantuan dari segi kewangan melalui aplikasi Carousell juga atau hubungi pihak Yellow House KL jika ingin meluangkan masa untuk sama-sama menjayakan usaha ini.

 

 

carousell

 

 

carousell

 

 

carousell

 

 

Sebagai sokongan tambahan kepada kumpulan pencari kerja, siri bengkel bersama jurulatih profesional akan diadakan bagi memberi peluang peserta belajar dengan lebih mendalam kaedah menulis CV profesional untuk permohonan kerja, memilih pakaian yang sesuai untuk menghadiri temuduga, cara menangani situasi sukar di tempat kerja dan sebagainya. 

 

Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Yellow House KL, Shyam Priah pula berkata, pihaknya berhasrat menyediakan intervensi mata pencarian yang mampan untuk komuniti terpinggir.

 

"Ini kerana kami amat percaya mereka berpeluang untuk berdikari, belajar kemahiran baharu dan meningkatkan kemahiran itu bagi mencapai kedudukan sosio ekonomi yang stabil. Ini amat penting khususnya sekarang untuk membina semula kehidupan supaya mereka boleh menjadi anggota masyarakat yang produktif. 

 

"Inisiatif  #SamaSamaSapot ini tidak sekadar meliputi soal penampilan yang betul dan melalui bengkel yang diadakan, kami berharap peserta juga akan menjadi lebih yakin dengan kemampuan mereka dan berasa bangga kerana dapat menyara diri sendiri serta orang tersayang,” katanya. -  DagangNews.com