Capital A tawar pakej umrah Ikhlas serendah RM5,990 sempena Matta Fair | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Capital A tawar pakej umrah Ikhlas serendah RM5,990 sempena Matta Fair

KUALA LUMPUR 2 Sept - Ikhlas, cabang perniagaan mesra Muslim di bawah Capital A Bhd. menyasarkan lebih 1,000 jemaah bakal menyertai pakej Umrah Ikhlas bagi musim 1444 Hijrah (2022/2023) dengan penerbangan terus ke Jeddah bersama AirAsia X mulai 16 November ini.

 

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ikhlas Kamarudin berkata, sejak dilancarkan Jun lalu, pihaknya menerima banyak permintaan terutamanya golongan muda dan berpengalaman mengerjakan umrah terhadap pakej-pakej yang sesuai. 

 

Katanya, sempena penyertaan pertama di Matta Fair, sebanyak tiga pakej umrah diperkenalkan bagi memenuhi keperluan jemaah masa kini iaitu Umrah Lite, Umrah Jejak Rasul dan Umrah Hawa bermula serendah RM5,990 bagi pelepasan antara November 2022 sehingga Februari 2023.

 

“Para jemaah boleh mengikuti kursus umrah percuma secara dalam talian atau bersemuka dengan mutawwif yang bertauliah dan diberikan bahan panduan serta rujukan umrah dan ziarah secara digital untuk memudahkan akses mereka sewaktu di Tanah Suci,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

 

Pakej Umrah Lite serendah RM5,990 selama sembilan hari tujuh malam dijadualkan berlepas dengan penerbangan terus AirAsia X ke Jeddah mulai 19 November ini sementara pakej 12 hari 10 malam Umrah Jejak Rasul (RM7,890) berlepas mulai 16 November dan Umrah Hawa (RM7,690) selama 13 hari 11 malam mulai 21 Disember ini.

 

Sementara itu, Ketua Komersial Ikhlas Travel & Umrah, Nurfatin Amalia Mohamad Yasin (Bulan) berkata, pihaknya teruja dengan pakej terbaharu ini memandangkan rangkaian pakej Umrah Ikhlas menawarkan keperluan asas seperti tiket penerbangan, lokasi hotel yang strategik, perkhidmatan pengangkutan darat, ziarah ke tempat-tempat suci serta beberapa faedah tambahan.

 

"Selain itu, ia turut menawarkan manfaat lain seperti rawatan perubatan tanpa tunai MedicAssist, perkhidmatan porter dan mata poin airasia yang boleh digunakan di seluruh ekosistem airasia, termasuk pakej Umrah bersama Ikhlas,” katanya.

 

Selain pakej umrah, Ikhlas turut menawarkan pakej pelancongan mesra muslim dengan penerbangan terus oleh AirAsia ke destinasi pilihan seperti Seoul, Busan dan Perth serta Pakej Ground ke Maldives, Langkawi, Pulau Mabul dan Kota Kinabalu-Kundasang bermula serendah RM359. - DagangNews.com