Capex Petronas Gas di bawah RPT2 melebihi RM2 bilion, kata CGS-CIMB | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Capex Petronas Gas di bawah RPT2 melebihi RM2 bilion, kata CGS-CIMB

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 30 Jan - Petronas Gas Bhd. memberi panduan perbelanjaan modal (capex) terkawal melebihi RM2 bilion di bawah peraturan berasaskan insentif (IBR) Tempoh Pengawalseliaan 2 (RP2, 2023-2025), demikian menurut CGS-CIMB Research.

 

Sebahagian besar daripada capex itu akan diperuntukkan untuk Penggunaan Gas Semenanjung (PGU), lebih tinggi daripada di bawah RP1.

 

Bagaimanapun, firma itu berkata, Petronas Gas tidak mendedahkan pulangan terkawal RP2 tetapi memberi panduan bahawa ia menyamai pemain utiliti lain di bawah peraturan tersebut.

 

"Kami dapati tarif purata asas RP2 yang lebih rendah untuk Petronas Gas disebabkan pulangan terkawal yang lebih rendah, boleh dikurangkan sebahagiannya oleh pelarasan hasil (kadar tukaran dan harga gas) untuk kemudahan terkawalnya, dan kelulusan tarif C di bawah PGU.

 

"Kos penggunaan gas dalaman (IGC) akan diserahkan sepenuhnya kepada penghantar di bawah RP2, tidak seperti RP1 di mana Petronas Gas perlu menyerap turun naik harga gas selepas melebihi bajet tertentu," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

Di bawah RP2, purata tarif asas RP2 yang mempengaruhi Petronas Gas ialah PGU sebanyak RM1.063 gigajoules (GJ) sehari (berbanding RM1.129 GJ sehari sebelumnya), Terminal Pengegasan Semula Sungai Udang (RGTSU) tidak berubah pada RM3.455 GJ sehari dan Terminal Pengegasan Semula Pengerang (RGTP) pada RM3.165 GJ sehari (berbanding RM3.485 GJ sehari sebelumnya)

 

Tarif C ialah tarif terkawal untuk penghantaran gas dengan tekanan lebih tinggi melalui Penempatan Semula Pemampat Projek Sektor 3 PGU II (SCORE), dengan anggaran kapasiti 200 juta kaki padu standard sehari (mmscfd).

 

CGS-CIMB berkata, pengurangan hasil keseluruhan daripada PGU di bawah RP2 mungkin hanya akan mencapai 2% dan bukannya 5.8% berbanding RP1 disebabkan pengenalan Tarif C.

 

Untuk kemudahan pengegasan semula, pergerakan kadar tukaran akan melalui pelarasan ke atas nilai aset untuk menafikan kesan pulangan terkawal yang lebih rendah.

 

"Kami dapati Suruhanjaya Tenaga akan mempunyai pelarasan tarif tahunan di bawah RP2 untuk mencerminkan perubahan dalam kdar tukaran dan harga gas untuk mengurangkan risiko turun naik dalam perbelanjaan operasi Petronas Gas," katanya.

 

Secara keseluruhan, firma itu mengekalkan saranan 'pegang' terhadap Petronas Gas dengan harga sasaran tidak berubah pada RM16.90 sesaham. 

 

Setakat 12.26 tengah hari, harga sahamnya menokok 26 sen atau 1.53% kepada RM17.26 sesaham dengan 117,300 saham diniagakan. - DagangNews.com