UEM Sunrise Bhd bersedia memanfaatkan bank tanahnya yang luas di Johor serta pembangunan perbandaran bersepadu di Iskandar Puteri untuk merebut peluang pertumbuhan baharu yang didorong oleh Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ).
JS-SEZ dijangka merancakkan lagi pelaburan dan aktiviti ekonomi rentas sempadan antara Johor dengan Singapura, sekali gus membuka lebih banyak peluang pembangunan di Iskandar Puteri.
Pemaju hartanah yang merupakan cabang hartanah utama UEM Group, yang dimiliki sepenuhnya oleh Khazanah Nasional Bhd, telah bertapak di Iskandar Puteri sejak peringkat awal pembangunan Iskandar Malaysia pada 2007 dan kini menyediakan aset perindustrian, kediaman serta komersialnya bagi merebut peluang yang terhasil daripada JS-SEZ.
JS-SEZ meliputi kira-kira 3,500 kilometer persegi merentasi sembilan zon pembangunan utama. Pelan hala tuju 10 tahunnya menyasarkan untuk memudah cara pelaburan, mewujudkan 20,000 pekerjaan berkemahiran dan memperkukuh integrasi ekonomi antara Malaysia dengan Singapura.
Inisiatif itu dilaksanakan ketika Johor muncul sebagai destinasi pelaburan utama Malaysia, mencerminkan keyakinan yang semakin meningkat terhadap peranan negeri itu sebagai hab pembuatan, logistik dan teknologi.
Pada 2025, Johor menarik pelaburan diluluskan bernilai RM110 bilion, tertinggi dalam kalangan semua negeri di Malaysia. Menurut Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), prestasi kukuh negeri itu disokong oleh kesalinghubungan logistik, momentum daripada JS-SEZ serta perkembangan pesat ekosistem pusat data dan pembuatan termaju.
Ketika aktiviti pelaburan semakin rancak, permintaan dijangka meningkat bukan sahaja terhadap kemudahan perindustrian, malah perbandaran bersepadu yang mampu menyokong perniagaan, tenaga kerja dan komuniti mereka.

Kehadiran jangka panjang UEM Sunrise di Iskandar Puteri
Dalam perkembangan itu, UEM Sunrise Berhad, cabang hartanah utama UEM Group yang dimiliki sepenuhnya oleh Khazanah Nasional Berhad, dana kekayaan berdaulat Malaysia, berada pada kedudukan yang baik untuk menyokong fasa pertumbuhan seterusnya di Iskandar Puteri.
Bagi menyokong visi jangka panjang itu, syarikat terus mengoptimumkan portfolionya menerusi peruntukan modal yang berdisiplin, sekali gus membolehkannya menyalurkan sumber kepada pembangunan strategik di Johor.
Syarikat telah lama bertapak di kawasan itu sejak peringkat awal Iskandar Malaysia pada 2007 dan membantu membentuk Iskandar Puteri sebagai antara pusat bandar terancang paling komprehensif di Johor.
Sejak itu, UEM Sunrise memainkan peranan dalam beberapa fasa evolusi Iskandar Puteri, daripada pembangunan kawasan kediaman, komersial dan perindustrian bersepadu kepada fasa pertumbuhan seterusnya yang kini dipacu JS-SEZ.
Syarikat mempunyai bank tanah yang besar di Johor, dengan sebahagian besarnya terletak di Iskandar Puteri, koridor pertumbuhan yang ditetapkan di bawah Flagship B JS-SEZ.
Dalam bank tanah itu terletaknya Gerbang Nusajaya, kawasan bandar bercampur seluas 4,471 ekar yang berada pada kedudukan untuk menyokong fasa pertumbuhan ekonomi dan perindustrian seterusnya di rantau tersebut.

Gerbang Nusajaya bersedia manfaatkan pertumbuhan JS-SEZ
Ketika Johor terus menarik pelaburan dalam sektor pembuatan termaju, pusat data, logistik dan industri bernilai tinggi lain, permintaan kini berkembang melangkaui ruang perindustrian kepada ekosistem bersepadu yang menggabungkan perumahan, kemudahan komersial, kesalinghubungan dan perkhidmatan sokongan.
Gerbang Nusajaya dirancang sebagai sebahagian daripada transformasi lebih luas itu dengan menyediakan infrastruktur yang diperlukan bagi menampung keperluan perniagaan, tenaga kerja dan komuniti ketika JS-SEZ terus mendapat momentum.
Pembangunan itu dibina berasaskan kejayaan perindustrian terdahulu, termasuk Southern Industrial and Logistics Clusters (SiLC), yang berjaya menarik industri berteknologi tinggi dan industri bersih, serta Nusajaya Tech Park yang dibangunkan dengan kerjasama CapitaLand sebagai taman perindustrian eko bersepadu.
Perancangan masa depan bagi Gerbang Nusajaya merangkumi kawasan perindustrian eko berteraskan digital yang direka untuk menyokong industri dipacu teknologi, inovasi dan tenaga boleh diperbaharui (RE). Kawasan itu akan mengintegrasikan infrastruktur digital, ciri berorientasikan pelepasan karbon sifar bersih serta kemudahan komersial dan logistik.
Inisiatif berkenaan sejajar dengan objektif JS-SEZ dan keutamaan negara yang lebih luas di bawah kerangka Ekonomi MADANI, termasuk Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) dan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030), sekali gus memperkukuh daya saing Iskandar Puteri sebagai destinasi perindustrian yang menarik untuk pelaburan.
Melangkaui pembangunan perindustrian
Selain pembangunan perindustrian, model perbandaran bersepadu UEM Sunrise merangkumi aspek gaya hidup, pelancongan dan infrastruktur komuniti.
Perbandaran itu merangkumi Puteri Harbour seluas 1,172 ekar, sebuah destinasi pesisir bersepadu yang menggabungkan kehidupan marina, hospitaliti, tempat makan, riadah, seni dan aktiviti perniagaan. Ia menyumbang kepada tarikan gaya hidup kawasan berkenaan di samping menyokong aktiviti ekonomi berasaskan pelancongan dan perkhidmatan. Estuari Sports Centre pula mengintegrasikan kehidupan, pekerjaan dan riadah bagi menyokong kesepaduan sosial serta kesejahteraan komuniti.
Kelestarian juga merupakan teras pendekatan pembangunan UEM Sunrise, dengan projeknya berpandukan Garis Panduan Reka Bentuk Pembangunan Mampan syarikat dan diselaraskan, jika bersesuaian, dengan piawaian kelestarian serta keperluan kawal selia berkaitan.

Melengkapi perbandaran itu ialah SIREH Park, taman rekreasi hijau komuniti bandar terbesar di Malaysia yang meliputi kawasan seluas 343 ekar. Sebagai penyerap karbon semula jadi, taman itu dianggarkan mampu menyerap kira-kira 300,000 kilogram karbon dioksida (CO₂) setahun, sekali gus menyumbang kepada sasaran neutral karbon UEM Sunrise menjelang 2050.
Diuruskan oleh The Nusajaya Natural Heritage Trust (TNNHT), SIREH Park menjadi model kelestarian ekologi yang menggalakkan penglibatan komuniti dan penyertaan pelbagai pihak berkepentingan menerusi program alam sekitar dan pemerkasaan.
Antara inisiatif utamanya ialah Plant That Tree yang menyasarkan penanaman 25,000 pokok hutan asli menjelang 2028. Sehingga 2025, lebih 10,000 pokok telah ditanam.
Perumahan untuk menyokong tenaga kerja yang semakin berkembang
Portfolio kediaman terbaharunya yang merangkumi Aspira Hills, Aspira LakeHomes, Senadi Hills dan Estuari menawarkan kediaman dalam segmen mampu milik, pertengahan dan premium, termasuk pembangunan bertanah serta bertingkat tinggi.
Dengan menyediakan perumahan pada pelbagai julat harga, UEM Sunrise menyasarkan untuk menyokong tenaga kerja yang diperlukan bagi mengekalkan pertumbuhan ekonomi jangka panjang Iskandar Puteri ketika pelaburan di bawah JS-SEZ semakin rancak, termasuk rakyat Malaysia yang mahu tinggal lebih dekat dengan peluang pekerjaan di selatan Johor dan di seberang sempadan di Singapura.
Sehingga kini, syarikat telah menyerahkan kira-kira 1,648 kediaman di seluruh perbandaran itu, di samping taman dan ruang komuniti, 59 unit komponen komersial serta infrastruktur sokongan lain, yang menyokong populasi penduduk kira-kira 3,600 orang.

Apabila perniagaan memulakan operasi, mereka memerlukan tenaga kerja berkemahiran, manakala pertambahan penduduk mewujudkan permintaan terhadap kediaman, sekolah, penjagaan kesihatan, peruncitan, rekreasi dan perkhidmatan penting lain.
Pendekatan perbandaran bersepadu UEM Sunrise direka untuk menyokong keperluan yang terus berkembang ini, membolehkan pertumbuhan ekonomi, penciptaan pekerjaan dan pembangunan komuniti bergerak seiring.
Mempersiapkan Iskandar Puteri untuk pertumbuhan jangka panjang
“JS-SEZ mewujudkan keadaan yang membolehkan Iskandar Puteri menarik lebih banyak pelaburan, industri bernilai lebih tinggi dan pekerjaan berkemahiran untuk jangka panjang,” kata Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif UEM Sunrise Bhd, Shaharul Farez Hassan.
“Peranan kami adalah untuk menyediakan perbandaran kami bagi menyokong pertumbuhan itu menerusi pembangunan perindustrian, komersial dan kediaman yang dirancang dengan baik serta menyediakan persekitaran yang sesuai untuk perniagaan dan komuniti berkembang.”

Daya tarikan Iskandar Puteri sebagai destinasi pelaburan diperkukuh oleh kesalinghubungan pelbagai mod yang membolehkan pergerakan manusia, barangan dan modal secara cekap antara Malaysia dengan Singapura, di samping memperkukuh peranannya sebagai hab ekonomi serantau.
Kedudukan Gerbang Nusajaya di bahagian utara Laluan Kedua Malaysia-Singapura menjadikannya perbandaran pertama yang ditemui apabila memasuki Malaysia dari Singapura dan yang terakhir sebelum menyeberang ke Singapura.
Persimpangan Gerbang Nusajaya yang dilancarkan pada 11 Disember 2025 meningkatkan akses ke kawasan itu, dengan masa perjalanan ke Pusat Pemeriksaan Tuas dikurangkan kepada kurang 15 minit, tertakluk kepada keadaan trafik.
Kesalinghubungan rel diperkukuh lagi menerusi Sistem Transit Rapid (RTS) Link yang menghubungkan Johor Bahru dengan Woodlands North di Singapura, perkhidmatan ETS Johor Bahru-Kuala Lumpur yang dilancarkan baru-baru ini serta cadangan RTS Link kedua yang menghubungkan Iskandar Puteri dengan Tuas.
Selain itu, Iskandar Puteri terletak kira-kira 25 minit dari Lapangan Terbang Antarabangsa Senai dan berada dalam jarak praktikal ke Lapangan Terbang Changi Singapura, sekali gus menyediakan akses serantau dan global.
Kesalinghubungan laut pula disokong oleh kedudukannya yang berhampiran pelabuhan utama termasuk Pelabuhan Tanjung Pelepas, Pasir Gudang dan Tanjung Langsat, yang meningkatkan kecekapan logistik dan perdagangan. Terminal Feri Antarabangsa Puteri Harbour menyediakan kesalinghubungan serantau serta potensi bagi perkhidmatan feri rentas sempadan pada masa hadapan.

Kedudukan berhampiran Singapura perkukuh prospek pertumbuhan
Dinamik serantau yang lebih luas terus menyokong prospek pertumbuhan Johor.
Peranan Singapura sebagai hab serantau bagi operasi korporat dan modal, bersama-sama perubahan dalam rantaian bekalan global serta penyesuaian semula ekonomi China, terus menyokong minat yang berterusan terhadap JS-SEZ.
Faktor-faktor itu meletakkan UEM Sunrise pada kedudukan untuk menyokong syarikat multinasional, pelabur institusi dan rakan kongsi berpangkalan di Singapura yang mencari pembangunan perindustrian serta perbandaran bersepadu dalam JS-SEZ.
Shaharul Farez berkata permintaan kekal berdaya tahan, didorong oleh pelabur Singapura yang mencari nilai dan ruang, rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura dan mahukan kediaman berkualiti berhampiran sempadan, serta pemain industri dan logistik yang mahu memanfaatkan peluang daripada JS-SEZ. - DagangNews.com








