Cadang AP dibuka kepada semua, jika peningkatan kos bahan binaan berpunca daripada AP | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Cadang AP dibuka kepada semua, jika peningkatan kos bahan binaan berpunca daripada AP

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika mempengerusikan Mesyuarat Majlis Perumahan Mampu Milik Negara (MPMMN) hari ini
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 10 Feb - Mesyuarat Majlis Perumahan Mampu Milik Negara (MPMMN) hari ini mencadangkan permit import (AP) bahan binaan dibuka kepada semua jika peningkatan kos bahan binaan berpunca daripada AP.

 

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA) diarah supaya menangani isu kos bahan binaan seperti besi dan keluli yang semakin meningkat serta penguasaan kartel dalam industri pembinaan

 

"Kebimbangan mesyuarat adalah kos bahan binaan seperti besi dan keluli yang semakin meningkat serta penguasaan kartel dalam industri pembinaan.

 

"Justeru, Menteri KPKT dan REHDA diarah supaya menangani perkara ini," katanya selepas mempengerusikan MPMMN hari ini.

 

Beliau berkata, MPMMN turut membincangkan strategi penyediaan dan pelaksanaan 500,000 unit rumah mampu milik di seluruh negara sepanjang tempoh Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12) melibatkan Kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri dan pihak pemaju perumahan swasta.

 

Katanya, kerajaan komited memastikan penyediaan rumah kediaman mencukupi, berkualiti dan mampu dimiliki bagi memenuhi keperluan penduduk yang semakin bertambah. 

 

 

pm

 

 

"Oleh itu, KPKT telah memperkenalkan Home Ownership Programme (HOPE) bagi melihat ekosistem lebih menyeluruh dalam penyediaan perumahan, pembiayaan perumahan serta program-program yang dapat membantu Keluarga Malaysia dalam pemilikan perumahan," katanya. - DagangNews.com